Rali pro-sains AS seru kembalinya ‘kebijaksanaan’
WASHINGTON: Sambil menunjuk ke arah Rumah Putih, kediaman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang menganggap dirinya ‘seorang genius yang sangat stabil’, Isaac Newton tidak berpendapat begitu.
“Selepas mengenali ramai genius, dan sebagai seorang genius, saya ingin menyatakan itu adalah satu dakwaan yang agak bongkak,” kata ‘Newton’, yang sebenarnya Dean Howarth, guru fizik sekolah tinggi di Virginia yang memakai kostum sejarah.
Howarth antara ratusan yang menyertai perhimpunan ‘March for Science’ kelmarin di Washington untuk mewujudkan perubahan yang dapat dilihat dan menuntut akauntabiliti lebih tinggi daripada pegawai awam untuk melaksanakan dasar berlandaskan bukti, menurut penganjur.
Itu adalah mesej rasmi perhimpunan itu, antara lebih 200 acara yang dijalankan di seluruh dunia.
Namun seperti yang disebut penceramah utama Sheila Jasanoff, sepanduk yang dibawa orang seperti Howarth menceritakan mesej yang lebih mudah dan jelas.
Kebanyakan mesej tersebut, walaupun lebih tersirat berbanding mesej Howarth, membawa kritikan tersirat terhadap Trump, yang menarik diri daripada Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim dunia, mempertahankan loji tenaga yang dijana oleh arang batu, cuba memansuhkan peraturan mengenai alam sekitar, dan belum lagi memilih penasihat sains utamanya.
‘Jadikan Amerika Bijak Semula’, menurut plakad yang dibawa penunjuk perasaan, versi alternatif kepada janji ‘Jadikan Amerika Hebat Semula’ oleh Trump.
“Kita di sini kerana tidak ada orang yang mahu dipimpin oleh gerak hati pegawai yang kita pilih,” kata Jasanoff, profesor dalam pengajian sains dan teknologi di Harvard, dalam ucapan pembukaannya tanpa merujuk secara khusus kepada kecenderungan Trump yang dilaporkan dengan meluas memerintah menurut gerak hati, bukannya analisis.
“Sains yang baik bergantung kepada demokrasi yang baik.
“Saya ulang: sains yang baik memerlukan demokrasi yang baik,” katanya.
David Titley, seorang lak- samana muda bersara yang mengetuai pasukan petugas tentera laut AS mengenai perubahan iklim, memberitahu hadirin bahawa sains menunjukkan kita perlu mengambil tindakan sekarang untuk mengelak risiko terburuk.
Ramai peserta mendengar di bawah naungan pokok ceri di bawah Tugu Washington pada Sabtu ala musim panas pertama tahun ini.
“Sains memisahkan fakta daripada tanggapan salah, kepalsuan dan fahaman fanatik,” kata Titley.
“Jika kita tidak mempedulikan dan merendahkan sains, kita akan merugikan dan memalukan diri sendiri.”
Suzelle Fiedler, 44, bekas pekerja makmal, memberitahu dia menyertai perhimpunan itu kerana keinginan pentadbiran untuk mengurangkan pembiayaan bagi penyelidikan, dan mereka menolak banyak fakta sains seperti perubahan iklim.
Poster Steven Schrader pula menyebut dia bukan seorang saintis gila, sebaliknya seorang saintis yang amat marah.
Schrader, 66, memberitahu, pentadbiran negara pada asasnya cuba mengeluarkan sains daripada keputusan.