Ia bukan hanya merosakkan diri sendiri malah menjejaskan imej pasukan khasnya, tentera darat amnya
MIRI: Semua anggota Batalion Ke-8 Rejimen Sempadan (8RS) diingatkan agar sentiasa menjaga disiplin diri dan menjauhi gejala tidak sihat termasuk penyalahgunaan dadah.
Pegawai Memerintah 8RS Leftenan Kolonel Shamsul Bahari Che Soh berkata ini penting kerana ia bukan hanya merosakkan diri sendiri malah menjejaskan imej pasukan khasnya dan tentera darat amnya.
“Justeru, saya tidak berkompromi dengan manamana anggota didapati terlibat dengan perkara seperti penyalahgunaan dadah, berjudi, berkhalwat, memandu tanpa lesen dan cukai jalan tidak sah.
“Perkara ini hendaklah dihindari sebagai usaha kita melaksanakan tugas dengan sempurna dan kehidupan penuh harmoni,” katanya pada Majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) 8RS Kedua di Padang Kawad Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sungai Rait, Bakam di sini baru-baru ini.
Hadir sama Penolong Pegawai Memerintah 8RS Mejar Noor Azhar Zainuddin, ketua-ketua kompeni, pegawaipegawai kanan serta ahli-ahli BAKAT.
Shamsul turut menggesa semua anggota agar sentiasa mempunyai pemikiran positif dan melaksanakan tugas diamanahkan dengan penuh keikhlasan dan dedikasi.
“Kita semua seharusnya bersyukur dan berterima kasih kepada Tentera Darat khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memberi pekerjaan kepada kita sehingga membolehkan hidup selesa ketika ini.
“Sebagai balasannya, kita hendaklah menggalas tugas diamanahkan dengan penuh tanggungjawab, rajin dan patuh kepada arahan dikeluarkan perkhidmatan,” katanya.
Sehubungan itu, bagi mencapai kejayaan lebih cemerlang untuk 8RS pada tahun ini, semua peringkat anggota pasukan perlu memainkan peranan masing-masing dengan jujur dan penuh kesungguhan.
“Setiap individu perlu menyumbang kepada kecemerlangan pasukan dalam apa juga bidang tugas dilaksanakan seperti kursus, latihan mahupun sukan.
“Jaga diri daripada melanggar disiplin atau melakukan kesalahan juga merupakan salah satu sumbangan semua dalam usaha mencapai kecemerlangan pasukan,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa penglibatan isteri anggota dalam aktiviti BAKAT amat diperlukan kerana secara tidak langsung turut memberi kesan kepada kerjaya suami sebagai tentera.
Katanya BAKAT merupa- kan satu entiti berfungsi bagi menjaga kebajikan isteri tentera.
“Dengan penglibatan isteriisteri tentera dalam BAKAT memberi peluang kepada mereka berkongsi ilmu dan sebarang masalah dihadapi di samping membantu meningkatkan kerjaya suami,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut memakaikan pangkat kepada beberapa anggota yang menerima kenaikan pangkat.
Dalam pada itu, sempena sambutan HUT pasukan itu tahun ini pelbagai aktiviti dianjurkan seperti menderma darah, majlis tahlil serta solat sunat dhuha.