UMNO Pahang minta pembangkang jawab dakwaan hidang minuman keras
TEMERLOH: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menggesa Pakatan Harapan tampil menjelaskan dakwaan bahawa minuman keras dihidangkan pada majlis makan malam anjuran pakatan pembangkang itu di Kuantan pada Jumaat lepas.
Beliau berkata, jika benar pakatan pembangkang menghidangkan minuman keras kepada tetamu bukan Islam pada majlis itu, jelas mereka tidak sensitif dan menunjukkan mereka tidak menghormati Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan.
“Saya akui ada menerima laporan dan terlihat dalam media sosial berhubung isu itu yang dibangkitkan dalam kalangan netizen... jika ia benar-benar berlaku, mereka (pembangkang) sangat tidak sensitif,” katanya.
Mohd Sharkar yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO dan pengerusi BN Temerloh berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Mini Karnival Orang Muda anjuran Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Temerloh di sini, semalam.
Berhubung individu yang menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Bebas di Temerloh dan Mentakab pada Pilihan Raya Umum Ke14, beliau berkata Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dan rakyat negara ini bebas untuk menjadi calon.
Sebelum ini, bekas Ketua Pengarang Berita TV3 Mohd Khaidir Ahmad mengumumkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Temerloh dan salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan sama atas tiket Bebas. — Bernama