SUKMA 2018: Fazzrudin meletakkan sasaran skuad bola sepak raih emas
KUCHING: Pengurus skuad bola sepak SUKMA Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman meletakkan sasaran pingat emas pada temasya SUKMA 2018 di Perak berlangsung dari 12 hingga 22 September depan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Borneo selepas menerima surat pelantikan rasmi sebagai pengurus skuad SUKMA Sarawak 2018 dari Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) di sini semalam.
“Sudah tentu kita meletakkan sasaran pingat emas. Setiap latihan, strategi dan tindakan yang kita atur menjurus kepada sasaran berkenaan. Itu yang menjadi harapan saya.
“Untuk itu, kita akan membuat persiapan sebaik mungkin bagi merealisasikan misi itu selebihnya kita berserah kepada rezeki,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu berkata, beliau memberi kepercayaan penuh kepada jurulatih berpengalaman, Ahmad Fairuz Yunus bagi memimpin skuad muda itu.
Katanya, langkah pertama perlu dilaksanakan mereka adalah memilih pemainpemain mewakili Sarawak kerana senarai penuh pemain perlu dihantar selewat-lewatnya penghujung bulan ini.
“Kita akan memanggil pulang mana-mana pemain yang layak sedang bermain di luar Sarawak. Selain itu, kita juga mengenal pasti pemain- pemain beraksi pada Piala Presiden, Piala Belia dan mewakili Kuching FA.
“Kita memberi keutamaan kepada mana-mana pemain menunjukkan dedikasi, komitmen dan mampu bermain sebagai satu pasukan,” jelas beliau.
Fazzrudin mengucapkan terima kasih kepada FAS dan Majlis Sukan Negeri Sarawak ( MSNS) kerana memberi kepercayaan kepadanya sebagai mengurus skuad SUKMA Sarawak kali ini.