731 nelayan Sebuyau terima elaun sara hidup berjumlah RM1.8 juta
SEBUYAU: Sejumlah 731 nelayan dari sini semalam menerima elaun sara hidup bagi tahun 2018 melibatkan jumlah keseluruhan RM1.8 juta.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengagihkan elaun berkenaan dalam satu majlis di Dewan Pembangunan Sebuyau.
Pada majlis itu Shabery turut mengumumkan pembangunan jeti pendaratan hasil tangkapan untuk nelayan di Maludam.
“Peruntukan daripada kerajaan persekutuan telah diluluskan untuk membina jeti pendaratan hasil tangkapan nelayan di Maludam bernilai RM500,000 yang akan memberi manfaat kepada lebih 300 nelayan dari kawasan ini,” katanya.
Beliau turut mengumumkan inisiatif pemberian insurans kepada kira-kira 1,400 nelayan berusia 75 hingga 80 tahun di negeri ini.
“Premium insurans memberi perlindungan sehingga RM221,150 dengan bayaran tahunan RM150. Bayaran tahunan juga boleh dibuat melalui potongan daripada elaun sara hidup mereka,” jelasnya.
Menjelas lanjut, Shabery berkata sebelum ini insurans untuk nelayan hanya memberi perlindungan kepada mereka yang berusia 75 tahun ke bawah.
Sementara itu dalam ucapan aluannya, beliau meminta rakyat memahami dasar Barisan Nasional ( BN) berbelanja untuk membantu kumpulan berpendapatan rendah.
“Ada dakwaaan dan tuduhan mengatakan bantuan-bantuan yang diberikan kepada rakyat adalah ‘rasuah’, sebenarnya peranan agensi-agensi kerajaan ialah membantu golongan yang memerlukan. Soal rasuah tidak timbul,” tegasnya.
Beliau menambah, ratarata yang membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) misalnya adalah golongan berpendapatan tinggi dan dalam reality, GST menyumbang semula kepada masyarakat untuk pembangunan.
Shabery juga menyampaikan elaun sara hidup berjumlah RM204,000 kepada nelayan darat, geran perumahan khas nelayan berjumlah RM760,000 dan geran memperkasakan berjumlah RM540,000 kepada 18 persatuan nelayan di seluruh Sarawak.
Terdahulu, Shabrey dan Rohani melepaskan 1,000 anak udang harimau, 1,000 anak ikan siakap dan 10 ikan siakap di terminal Sebuyau.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Ghapor dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk M. Saedon Majid.