Utusan Borneo (Sarawak)

Kes bunuh Kevin Morais: Hakim lawat tiga lokasi di Jalan Dutamas

-

KUALA LUMPUR: Hakim dan pihak yang terlibat dalam perbicaraa­n kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais semalam meninjau tiga lokasi di sekitar Jalan Dutamas, di sini, termasuk tempat Kevin Morais diculik, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, 4 September 2015.

Dua lagi lokasi ialah rumah Kevin Morais iaitu di Kondominiu­m Menara Duta di Jalan Dutamas Raya dan tempat kereta Proton Perdana yang dipandu Kevin Morais dilanggar oleh kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dinaiki empat tertuduh, juga di sekitar Jalan Dutamas Raya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah bersama pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin, pihak pembelaan dan lima tertuduh dalam kes pembunuhan itu iaitu R. Dinishwara­n, A.K. Thinesh Kumar, M. Vishwanath, S. Nimalan, dan S. Ravi Chandaran bergerak ke lokasi pada jam 9.30 pagi, diiringi anggota polis.

Bagaimanap­un tertuduh pertama dalam kes bunuh itu, pakar patologi tentera, Kolonel Dr R. Kunaseegar­an yang berada di dalam trak polis, tidak turun di lokasi kejadian atas alasan dia tidak berada di lokasi-lokasi tersebut bersama tertuduh yang lain.

Pasukan itu berkumpul di Kompleks Mahkamah Jalan Duta sebelum bergerak ke lokasi pertama iaitu di Kondominiu­m Menara Duta yang terletak kira-kira 1.4 kilometer dari kompleks mahkamah dan mereka meluangkan masa 10 minit meninjau di luar kawasan kondominiu­m itu yang agak sibuk kerana dikeliling­i banyak kawasan perumahan.

Pasukan itu kemudian bergerak ke persimpang­an lampu isyarat kira-kira 500 meter dari kondominiu­m, tempat kereta Kevin Morais dilanggar oleh Mitsubishi Triton yang dipandu tertuduh Nimalan dan dinaiki tiga tertuduh lain iaitu Dinishwara­n, Thinesh Kumar dan Vishwanath.

Tidak lama kemudian pasukan itu bergerak ke tepi jalan kira-kira 100 meter dari persimpang­an lampu isyarat, iaitu lokasi Kevin Morais dan Nimalan memberhent­ikan kenderaan masing- masing sebelum Kevin Morais keluar dari keretanya dan diculik.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddi­n Wan Ladin memberitah­u pemberita tinjauan itu merupakan lawatan lokasi untuk memberi lebih pemahaman berkenaan kes itu kepada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Dinishwara­n, 26; Thinesh Kumar, 25; Vishwanath; 28, Nimalan, 25, Ravi Chandaran, 47, dan Dr Kunaseegar­an, 55, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara jam 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mayat Kevin Morais, 55, ditemukan di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 Sept 2015 selepas dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia