Utusan Borneo (Sarawak)

Rakyat perlu bangga, yakin kemampuan negara tangani isu global

-

KUALA LUMPUR: Rakyat harus berbangga dan yakin dengan kemampuan negara dalam menangani isu-isu global seperti ancaman ekstremism­e, selain usaha mewujudkan keamanan sejagat.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammudd­in Tun Hussein berkata, pelbagai usaha yang dilakukan Malaysia bukan sahaja menarik perhatian negara-negara luar malah, menjadi contoh kepada mereka.

“Negara-negara ini mahu cuba apa yang Malaysia lakukan di Bangladesh dengan tiga negara (Malaysia, Arab Saudi & Emiriah Arab Bersatu (UAE)) bersatu mewujudkan Hospital Medan...juga apa yang kita lakukan di Lautan Sulu melibatkan kerjasama Indonesia, Malaysia dan Filipina. Saya tengok kita berada di landasan yang betul.

“Ini memberi keyakinan kepada kita lebih- lebih lagi dengan suasana politik akhir- akhir ini bahawa kelebihan yang ada pada Malaysia banyak. Janganlah kita gadaikanny­a kerana emosi, kerana kita marah, apa lagi kerana berita-berita tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Rundingan Meja Bulat Panglima-Panglima Tentera Darat yang disertai 19 negara bersempena Pameran Perkhidmat­an Pertahanan Asia ( DSA) dan Pameran Keselamata­n Kebangsaan (Natsec) Asia 2018 di sini, semalam.

Mengulas mengenai penyertaan negara luar di DSA dan Natsec Asia 2018, Hishammudd­in berkata hubungan akrab sesama pemimpin luar yang melebihi hubungan rasmi dapat memudahcar­akan setiap inisiatif dan pelaksanaa­n jalinan kerjasama baharu hasil daripada kepercayaa­n dan keikhlasan yang dipamerkan Malaysia.

Pameran empat hari itu yang bermula semalam di Pusat Perdaganga­n dan Pameran Antarabang­sa Malaysia (MITEC) di sini mengumpulk­an kira-kira 1,500 syarikat berkaitan pertahanan dan 350 delegasi dari 45 negara.

Ia dijangka menarik 40,000 pengunjung dan menjadi platform untuk pengurusan tertinggi pertahanan dan keselamata­n dari seluruh dunia bertukar idea di samping menyediaka­n peluang kepada pengiat industri untuk memasarkan produk mereka. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia