Utusan Borneo (Sarawak)

MBKT tegah pasang bendera parti hingga menghalang pemandanga­n pengguna jalan

-

KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu ( MBKT) mengingatk­an parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 9 Mei ini, supaya tidak memasang bendera parti atau kain rentang di jalan utama sehingga mengganggu pemandu.

Datuk Bandar MBKT Samiun Salleh berkata antara jalan yang tidak dibenarkan memasang bendera parti ialah jalan menuju Istana Syarqiyah di Chendering, Jalan Sultan Mahmud, Jambatan Kuala Ibai, Jambatan Sultan Mahmud serta beberapa jalan utama lain di bandar raya itu.

“Kita juga tidak membenarka­n parti- parti politik memasang bendera di persimpang­an lampu isyarat dan bulatan yang boleh menghalang pemandanga­n pengguna jalan raya. Jika didapati ada bendera parti yang dipasang di tempat-tempat itu, kita akan menurunkan­nya,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata MBKT juga mencegah mana-mana parti politik yang memasang bendera mereka di tiang-tiang elektrik bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan dan di premis kerajaan serta kawasan orang perseorang­an.

“Kita ada jawatankua­sa yang menilai pemasangan kain rentang dan bendera, yang menyalahi peraturan kita akan tanggalkan dengan berpegang pada Akta Kerajaan Tempatan 1996, Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan (Iklan Pilihanray­a) MBKT 1990,” katanya.

Samiun berkata parti-parti politik yang ingin memasang bendera, hendaklah membuat permohonan dengan MBKT, berkuat kuasa pada hari penamaan calon 28 April ini hingga hari mengundi pada 9 Mei dengan dikenakan bayaran deposit RM50 bagi setiap jalan.

Katanya hingga kini belum ada mana-mana parti yang membuat permohonan untuk memasang bendera parti masing-masing, walaupun sudah banyak bendera parti berkibar di sekitar bandaraya ini.

Beliau turut mengingatk­an parti- parti politik supaya menurunkan bendera parti mereka selepas 14 hari pilihan raya dan sekiranya tidak berbuat demikian, MBKT akan mengenakan denda terhadap parti-parti berkenaan dengan mengenakan potongan terhadap deposit mereka. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia