Utusan Borneo (Sarawak)

AMANAH bakal bertanding empat Parlimen, 12 DUN Perak

-

IPOH: Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak bakal bertanding di empat kerusi Parlimen dan 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi AMANAH Perak Asmuni Awi pada majlis sidang media mengumumka­n calon AMANAH semalam memaklumka­n beliau akan bertanding di DUN Manjoi sebagai calon Pakatan Harapan.

Beliau mengumumka­n Naib Presiden AMANAH Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang juga penyandang Parlimen Parit Buntar bakal bertanding di parlimen itu dan calon bagi Parlimen Kuala Kangsar ialah Dr Ahmad Termizi Ramli yang pernah menjadi calon Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar 2016.

Selain i tu, Timbalan Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutua­n Tarmizi Mohd Jam adalah calon Parlimen Parit dan Parlimen Lumut pula calonnya ialah Dr Mohd Hatta Md Ramli yang juga penyandang Parlimen Kuala Krai, Kelantan.

DUN Selama bakal ditandingi Razali Ismail seorang anggota jawatankua­sa biro pilihan raya AMANAH Nasional, Ketua Pemuda Pakatan Harapan Perak Hasnul Zulkarnain Abd Munaim pula adalah calon DUN Titi Serong manakala DUN Selinsing mempertaru­hkan calon paling muda iaitu Ahmad Saqif Ansorullah Ahmad Jihbadz Mokhlis yang juga seorang guru.

Bagi kerusi DUN Changkat Jering akan ditandingi pemangku Timbalan Ketua AMANAH Bukit Gantang Ir Megat Shariffudi­n Ibrahim, Ir Dr Muhd Fadhil Nuruddin yang pernah menjadi pensyarah calon DUN Kamunting dan DUN Sungai Rapat ditandingi bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

DUN Ayer Kuning pula akan ditandingi Naib Pengerusi AMANAH Perak Tan Seng Toh, DUN Kampung Gajah Speaker Angkatan Wanita AMANAH Nasional Zaiton Latiff, DUN Pasir Panjang calonnya Yahaya Mat Nor iaitu seorang guru, calon DUN Rungkup ialah Hatim Musa dan jawatankua­sa pimpinan AMANAH Perak Aminuddin Zulkipli adalah calon DUN Behrang.

Pada Jumaat lalu, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak Dr Muhammad Nur Manuty mengumumka­n parti itu akan bertanding bagi lima kerusi Parlimen dan 14 DUN pada PRU14.

Kesemua calon Parlimen dan DUN AMANAH bakal menggunaka­n logo dan simbol PKR pada PRU14 ini selaras dengan pengumuman Pakatan Harapan pada 6 April lepas.

Suruhanjay­a Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRU14 ialah pada 9 Mei, tarikh penamaan calon pada 28 April dan 5 Mei adalah tarikh pengundian awal.

Pada PRU13, Barisan Nasional menang 31 daripada 59 kerusi DUN Perak, DAP 18 kerusi manakala PKR dan PAS masing- masing lima kerusi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia