TEKUN Nasional sedia pembiayaan lebih RM17 juta melalui produk Ar Rahnu
KOTA BHARU: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) berjaya membantu menyediakan pembiayaan berjumlah lebih RM17 juta kepada pelanggannya melalui produk Ar Rahnu sejak diperkenalkannya pada 2015.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Baharom Embi berkata, jumlah itu meliputi pembiayaan gadaian emas daripada hampir 8,000 transaksi di semua cawangan Ar Rahnu TEKUN Nasional di seluruh negara.
“Daripada perkembangan itu kita percaya keyakinan pelanggan khususnya usahawan mikro makin meningkat terhadap produk kita, sekali gus menjadi rangsangan untuk TEKUN Nasional meluaskan perkhidmatan ini ke seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian pembukaan Premis Ar Rahnu TEKUN Nasional Cawangan Kota Bharu di sini, semalam.
Turut hadir Pengurus Tekun Nasional Kelantan Che Othman Che Wil.
Ar Rahnu TEKUN Nasional Kota Bharu adalah cawangan ketujuh Ar Rahnu TEKUN Nasional bagi membuka peluang kepada usahawan dan bakal usahawan di pedalaman serta di bandar meningkatkan peluang pembiayaan perniagaan bagi keperluan sara hidup yang lebih baik.
Baharom berkata, skim patuh syariah itu merupakan antara usaha TEKUN Nasional dalam membantu usahawan yang berdepan masalah kekurangan modal walaupun setelah mendapat pembiayaan daripada pihaknya sebelum ini.
Sementara itu, beliau berkata sebuah lagi cawangan Ar Rahnu TEKUN Nasional akan dibuka di Johor Baharu pada Julai ini.
Beliau berkata, Ar Rahnu TEKUN Nasional menawarkan pekhidmatan pembiayaan dengan upah simpan serendah RM0.50 bagi setiap nilai marhum RM100 dengan pembiayaan gadaian sehingga RM100,000.
Perkhidmatan lain yang turut disediakan termasuk mencuci barang kemas dengan upah serendah RM3 dan menyimpan barang kemas dengan ujrah RM0.60 bagi setiap nilai marhum RM100. — Bernama