MATRADE sasar perjanjian jualan bernilai RM25 juta pada DSA 2018
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjangkakan sesi padanan perniagaannya pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2018) menjana jualan sebanyak RM25 juta, berbanding RM20 juta yang direkodkan pada DSA sebelum ini yang diadakan dua tahun lalu.
Pengarah Seksyen Pengangkutan dan Logistik, Yuslinawati Mohd Yusof, berkata MATRADE menganjurkan kirakira 100 pertemuan padanan perniagaan di bawah Porgram Penyumberan Antarabangsa (INSP).
“MATRADE menjemput 27 syarikat antarabangsa untuk bertemu dengan 34 syarikat dari Malaysia pada hari kedua dan ketiga DSA 2018 untuk sesi padanan perniagaan,” katanya kepada Bernama di luar INSP pada DSA 2018, di sini, kelmarin.
DSA 2018 memberi fokus kepada kegiatan usaha sama juga terhadap syarikat asing yang berminat membeli peralatan pertahanan daripada firma Malaysia, kata Yuslinawati, dan menambah pembeli berkualiti menunjukkan minat bagi memastikan hasil jualan yang lebih baik.
Katanya, terdapat 11 syarikat dari Korea Selatan, enam dari United Kingdom, tiga dari Myanmar dan masing-masing dua dari Thailand dan Bangladesh, manakala Turki, Kanada dan Belarus masing-masing diwakili oleh satu syarikat.
Menurutnya, syarikat antarabangsa membuat penyumberan untuk peluang kerjasama bagi produk dan peralatan keselamatan, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), kejuruteraan serta sektor tekstil keselamatan.
“Keupayaan syarikat pertahanan Malaysia termasuk menyediakan penyelenggaraan, perkhidmatan baik pulih dan pemeriksaan, meningkatkan peralatan ketenteraan serta membangunkan program ICT untuk industri pertahanan,” katanya.
Yuslinawati berkata, sektor perusahaan komponen kereta Malaysia juga sudah berkembang di dalam segmen logistik dan kenderaan pertahanan.
INSP adalah ruang untuk pembeli dan penjual mengadakan hubungan awal yang akan diterjemahkan kepada pertukaransebutharga,menyediakan maklumat produk dan susulan. — Bernama