DPMM Pahang tangkis dakwaan MCKIP tutup peluang pekerjaan rakyat tempatan
KUANTAN: Dakwaan segelintir pihak kononnya projek Taman Industri Kuantan Malaysia- China ( MCKIP) sberkeluasan 1,214 hektar di Gebeng di sini hanya menggunakan tenaga kerja asing dan tidak menggaji tenaga kerja rakyat tempatan, adalah tidak benar.
Sebaliknya, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang menjelaskan terdapat lebih kurang 1,200 pekerja tempatan dan hanya 200 pekerja dari China yang bekerja di Alliance Steel (M) Sdn Bhd, syarikat pertama yang beroperasi di MCKIP.
Yang Dipertua DPMM Pahang Yusri Yusof berkata lawatan pihaknya bersama 200 wakil daripada kerajaan negeri, agensi kerajaan dan pemimpintempatandikawasan perindustrian itu Isnin lepas, mendapati kebanyakan pekerja terdiri daripada kaum Melayu dengan gaji antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.
“Saya ada bertemu dan bercakap dalam enam orang daripada mereka. Ada lelaki dan perempuan. Mereka beritahu saya bahawa mereka cukup berpuas hati dengan pekerjaan sekarang di kilang itu (Alliance Steel (M) Sdn Bhd).
“Dari segi pekerjaan mereka tiada apa- apa halangan. Menurut mereka tempat kerja dan tempat tinggal di situ sangat selesa. Tiada masalah juga dari segi bekalan makanan kerana di situ terdapat kantin yang diusahakan oleh orang Melayu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.
Yusri berkata kebanyakan pekerja tempatan di situ terdiri daripada golongan muda dan mengisi kekosongan jawatan dalampelbagaibidangtermasuk pengurusan, bahagian makmal serta pengendalian mesin.
“Ada juga yang baharu habis belajar di universiti dan terus bekerja di situ mengikut bidang yang bersesuaian dengan kelulusan mereka,” katanya.
Katanya, pengurusan MCKIP juga memberitahu peserta lawatan bahawa terdapat 1,000 lagi tawaran pekerjaan di kilang tersebut akan dibuka kepada rakyat tempatan minggu hadapan.
Beliau juga menepis tohmahan sesetengah pihak yang mempertikaikan larangan memasuki Alliance Steel (M) Sdn Bhd sebelum ini, dan menjelaskan, larangan tersebut dikeluarkan atas faktor keselamatan kerana kilang itu masih dalam proses pembinaan, namun kini sudah boleh dilawati.
Kilang tersebut dalam peringkat percubaan mengeluarkan besi untuk dipasarkan sebelum beroperasi sepenuhnya pada Jun tahun ini.
Justeru, Yusri menggesa pihak yang mempunyai tanggapan negatif terhadap projek perindustrian itu, termasuk pembangkang, supaya masuk dan melihat sendiri keadaan sebenar MCKIP dan Alliance Steel (M) Sdn Bhd.
K a t a n y a t i n d a k a n pembangkang yang menuding jari kepada projek tersebut tanpa melihat keadaan sebenar adalah tidak adil kepada masyarakat, pemilik projek dan kerajaan sendiri. — Bernama