Utusan Borneo (Sarawak)

RM6 juta laksana sistem pam air tangani banjir di Taman Sejoli

-

KUCHING: Sebanyak RM6 juta diperuntuk­kan bagi melaksanak­an projek sistem pam air untuk menangani masalah banjir kilat di Taman Sejoli.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kawasan tersebut kerap mengalami banjir kilat setiap kali hujan lebat.

“Kalau hujan lebat turun di situ dalam tempoh sejam hingga dua jam, ia akan banjir disebabkan sistem perparitan kurang memuaskan, apatah lagi kalau paras air Sungai Sarawak tinggi, kawasan tersebut pasti teruk terjejas.

“Sebab itu, saya ingin mengatakan di sini bahawa projek sistem pam air dengan kos RM6 juta akan kita laksanakan di bawah JPS di Taman Sejoli ini untuk mengatasi masalah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan taklimat bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuching dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) di bilik mesyuarat JKR Kuching di sini semalam.

Wan Junaidi menjelaska­n, projek sistem pam air itu sama seperti yang dibuat di Sibu yang mana ia berjaya mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut.

“Apabila projek ini siap kelak, ia pasti memberi kesan positif dalam usaha kita menangani masalah banjir di kawasan yang terjejas ini,” ujarnya.

Mengenai perjumpaan itu, Wan Junaidi berkata, ia sudah menjadi rutin beliau setiap bulan untuk mengadakan pertemuan dengan jabatan berkaitan.

“Sebulan atau dua bulan sekali, saya mengadakan sesi taklimat bersama JKR, JPS, JBALB dan agensi serta jabatan kerajaan berkaitan untuk mengetahui perkembang­an terkini projek-projek yang dilaksanak­an.

“Pada masa sama, bagi mendapatka­n maklumat serta isu yang memerlukan penyelesai­an segera,” tambahnya.

Dalam perkembang­an lain, Wan Junaidi berkata, pihaknya akan meminta Kementeria­n Kewangan Malaysia (MOF) mempercepa­tkan pelantikan konsultan bagi melaksanak­an projek bekalan air di kawasan Sematan, Lundu dan Bau.

Beliau menjelaska­n, projek yang berjumlah RM129 juta itu telah diluluskan pada tahun lalu dan kini terdapat sedikit masalah berkaitan pelantikan konsultan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia