Utusan Borneo (Sarawak)

79,380 layak mengundi wakil Parlimen Miri kali ini

-

MIRI: Seramai 79,380 orang yang sudah berdaftar dengan Suruhanjay­a Pilihan Raya ( SPR) layak untuk menunaikan tanggungja­wab mereka sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi kerusi Parlimen Miri, kali ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen P.219 Miri Morshidi Frederick memberitah­u, jumlah itu termasuk pengundi awal (anggota tentera dan polis serta petugas pilihan raya lain) dan pengundi pos.

“Bagaimanpu­n jumlah bagi pengundi awal dan pengundi pos, masih belum dapat kami terima, namun saya yakin kami akan perolehiny­a selepas penamaan calon kelak, dengan undi awal pada 5 Mei,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Dengan semua pusat mengundi tertumpu di kawasan bandar, satu-satunya pusat mengundi Parlimen P.219 di pinggir bandar ialah Rumah Dok di Jalan Miri-Marudi, kira-kira 45 minit perjalanan dari pusat bandar.

“Pusat mengundi Rumah Dok mempunyai satu saluran mengundi sahaja, dengan 186 pengundi berdaftar termasuk pengundi baharu, sekali gus akan menjadi pusat mengundi paling awal ditutup kelak iaitu jam 1 petang.

“Sementara itu, semua pusat pembuangan undi di Parlimen Miri akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang melibatkan 24 pusat mengundi dan 132 saluran manakala Pusat Penjumlaha­n Undi ialah di Dewan Suarah Miri,” katanya sambil menambah, Pusat Penamaan Calon juga akan diadakan di Dewan Suarah Miri.

Morshidi menambah kata, lebih 1,000 petugas SPR akan menjalanka­n tanggungja­wab masing-masing kelak, termasuk pasukan polis.

“Kita akan lantik sekurang- kurangnya seorang anggota polis di setiap saluran mengundi bagi mengiringi peti undi kelak,” katanya.

Terdahulu sebelum itu, Morshidi menerima kedatangan Menteri Muda Pelanconga­n, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin yang membeli tiga set borang penamaan calon.

Lee yang tiba tepat jam 11 pagi di Bilik Gerakan SPR Parlimen Miri, diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau merangkap Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting, Ketua Penerangan SUPP merangkap Datuk Bandar Miri Adam Yii dan Setiausaha Politik Lee Erick Chin.

Morshidi mengesahka­n sehingga tengah hari semalam, tujuh set borang penamaan calon telah dibeli dari Bilik Gerakan Suruhanjay­a Pilihan Raya ( SPR) Bagi Parlimen P.219 Miri di sini, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia