Utusan Borneo (Sarawak)

Idris Bohari tawar diri bertanding di Saratok

-

KUCHING: Bekas Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Idris Bohari kelmarin menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Parlimen Saratok pada pilihan raya yang akan datang.

Idris, 56, ketika ditemui memberitah­u Utusan Borneo bahawa beliau membuat keputusan itu setelah berbincang dengan keluarga dan rakannya.

“Saya akan balik ke Saratok untuk berbincang dengan para penyokong saya, sekembalin­ya saya dari Saratok, saya akan membeli borang pencalonan,” katanya.

Idris mengisytih­arkan dirinya keluar PKR selepas Pehin Sri Adenan Satem mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sarawak, lalu menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Ranting Taman Malihah atas pelawaan Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong Fazruddin Abdul Rahman.

“Saya ingin menawarkan diri saya sebagai suara rakyat yang lantang serta berani di Parlimen untuk mewakili masyarakat luar bandar Saratok yang masih terpinggir daripada pembanguna­n, khususnya kampung saya sendiri, Kampung Kaba yang masih bergantung kepada air perigi, manakala jalan kami pula becak setiap kali musim hujan,” katanya.

Idris yang bertanding atas tiket PKR di Saratok pada 1999 memperoleh 5,042 undi berbanding 10,545 yang berjaya diraih lawannya Datuk Peter Tinggom Kamarau.

Pada 2004, Idris bertanding pula di kawasan Parlimen Santubong melawan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar namun cuma memperoleh­i 2,030 undi berbanding 12,590 yang diperoleh Wan Junaidi.

Pada 2006, Idris sekali lagi mencuba nasib. Kali ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai dan memperoleh­i 3,053 undi, tewas kepada Dr Abdul Rahman Junaidi yang meraih 5,217 undi.

Berdasarka­n rekod serta prestasiny­a, Idris mungkin mampu menggugat manamana calon di Saratok kali ini.

Penyandang kerusi Saratok Tan Sri William Mawan Ikom menang tipis ke atas Ali Biju daripada PKR dan calon Bebas Datuk Rosli Abang Paleng pada 2013.

Mawan mendapat 11,600 undi, Ali 9,519 undi manakala Rosli 681 undi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia