Utusan Borneo (Sarawak)

Juruteknik mengaku tidak bersalah cabul dan pornografi kanak-kanak

-

KUALA TERENGGANU: Seorang juruteknik berasal dari Marang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 16 pertuduhan mencabul dan melakukan pornografi terhadap kanakkanak perempuan berusia dalam lingkungan 8 hingga 11 tahun yang dilakukan di antara November 2017 hingga Mac tahun ini.

Tertuduh, Mohammad Amir Mohd Layi, 20, dituduh melakukan 12 kes cabul dan empat video pornografi ke atas 12 kanakkanak perempuan di tiga lokasi berlainan di daerah Kuala Terengganu dan 10 lokasi berlainan di daerah Marang.

Pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh di hadapan tiga hakim Mahkamah Sesyen berbeza iaitu Hakim Azman Mustapha, Mohamad Haldar Abdul Aziz dan Rofiah Mohamad.

Kesemua pertuduhan adalah di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap KanakKanak 2017, Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) akta yang sama.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan sebatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) dan 14 (b) boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Tiada jaminan ditetapkan terhadap tertuduh dan mahkamah menetapkan 22 Mei ini sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Adila Mat Zaidan, dan Rohaiza Abdul Rahman manakala tertuduh diwakili peguam Nik Radhia Nik Ya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia