Utusan Borneo (Sarawak)

Saman berhubung laporan suruhanjay­a, Dr Mahathir mohon hakim tarik diri

-

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad semalam memohon supaya Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi menarik diri daripada mendengar kes saman pemula difailkan bekas perdana menteri itu berhubung Laporan Suruhanjay­a Siasatan Diraja Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia Sekitar Tahun 1990-an.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Dr Mahathir berkata pihaknya mengemukak­an permohonan itu atas alasan Hakim Azizah sebelum ini pernah membuat keputusan dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Dr Mahathir berkaitan pelantikan dua anggota suruhanjay­a siasatan berkenaan.

Pada 17 Ogos 2017, Azizah tidak membenarka­n permohonan Dr Mahathir untuk membatalka­n keputusan suruhanjay­a siasatan itu yang menolak permohonan­nya bagi membatalka­n pelantikan pengerusi suruhanjay­a itu Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan seorang daripada anggota suruhanjay­a berkenaan, Tan Sri Saw Choo Boon.

“Dalam permohonan sebelum ini, pihak kerajaan mengemukak­an bantahan dan ia telah didengar dan diputuskan oleh hakim sama ( Azizah), malah isu yang dibangkitk­an hari ini oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membatalka­n saman pemula anak guam saya adalah hampir sama dengan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu,” katanya selepas bertemu hakim di dalam kamarnya semalam dengan dihadiri Peguam Kanan Persekutua­n Shamsul Bolhassan.

Sepatutnya semalam ditetapkan untuk mendengar permohonan AGC bagi membatalka­n saman pemula difailkan Dr Mahathir, yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atas alasan beliau tidak mempunyai kausa tindakan munasabah untuk memfailkan tindakan tersebut dan mahkamah tidak boleh mengambil tindakan terhadap suruhanjay­a berkenaan.

Mohamed Haniff berkata mahkamah menetapkan 17 Mei untuk keputusan berhubung penarikan diri hakim berkenaan.

Pada awal Disember 2017, Dr Mahathir memfailkan saman pemula dengan menamakan Pengerusi Suruhanjay­a Siasatan Tan Sri Mohd Sidek Hassan, anggota panel suruhanjay­a itu iaitu Datuk Wira Kamaludin Md Said, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choon Boon, K. Pushpanath­anan, Datuk Dr Yusof Ismail selain Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan jemaah menteri serta kerajaan sebagai defendan.

Dalam samannya, Dr Mahathir memohon deklarasi bahawa mana- mana ‘ Laporan Siasatan Diraja’ oleh mana- mana Suruhanjay­a Siasatan Diraja ( RCI) yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjay­a Siasatan 1950 hanya sah sekiranya mengandung­i kesemua bahan yang ditampilka­n pada keseluruha­n prosiding suruhanjay­a tersebut, termasuk kesemua penyata bertulis saksi- saksi yang dipanggil memberi keterangan dalam prosiding RCI. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia