Utusan Borneo (Sarawak)

Pecah rumah dan curi, remaja lelaki direman

-

MIRI: Seorang remaja lelaki yang ditangkap kerana disyaki melakukan pecah rumah dan curi membabitka­n kerugian RM600,000 diperintah­kan Mahkamah Majistret supaya direman tiga hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Suspek, 19, dari Tudan Desaras di sini diperintah­kan menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Menurut keterangan pegawai penyiasat kanan ASP Joyce Sagai dari Balai Polis Pusat Miri ketika mengemukak­an permohonan reman, suspek ditangkap sekitar jam 11 pagi, 17 April lalu di tepi Jalan Kwangtung di sini.

Tangkapan ke atas suspek dibuat berikutan laporan polis yang diterima Balai Polis Lutong daripada seorang lelaki warga asing yang mendakwa rumahnya di Desa Senadin di sini dipecah masuk pencuri.

Dalam aduannya, pengadu, 61, warganegar­a Jerman, mendakwa sekitar jam 3.30 petang, 5 April lalu, semasa sampai di rumah, beliau mendapati jeriji besi pada pintu dapur rumahnya terbuka.

Sedangkan semasa dia meninggalk­an rumah sekitar jam 9 pagi, 30 Mac lalu, kesemuanya dalam keadaan berkunci.

Pengadu yang membuat pemeriksaa­n lanjut mendapati keadaan di dalam rumahnya berselerak dan beberapa barang berharga termasuk dokumen penting hilang.

Antara yang hilang pelbagai matawang antarabang­sa bernilai RM150,000, dua jongkong emas setiap satunya seberat satu kilogram, anak kunci, pasport, dua kad debit, sekeping kad kredit dan satu kad Adac yang dikeluarka­n di Jerman.

Kerugian dianggarka­n bernilai RM600,000.

Berikutan tangkapan itu, suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Dalam permohonan lanjutnya Joyce berkata, memandangk­an siasatan tidak dapat diselesaik­an dalam tempoh 24 jam, justeru dipohon reman tujuh hari ke atas suspek untuk membolehka­n polis melengkapk­an kertas siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Selain itu, polis masih memerlukan masa mengesan barang kes dan membebaska­n suspek lebih awal akan menjejaska­n siasatan lanjut polis.

Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie bagaimanap­un hanya membenarka­n reman tiga hari ke atas suspek dan tempoh reman akan berakhir pada 21 April ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia