Utusan Borneo (Sarawak)

Polis Armenia tangkap puluhan penunjuk perasaan antikeraja­an

-

YEREVAN: Polis di ibu negara Armenia, Yerevan, menahan puluhan penunjuk perasaan antikeraja­an semalam – hari ketujuh bagi protes besar-besaran untuk membantah pemilihan bekas presiden Serzh Sarkisian sebagai perdana menteri.

Diketuai Ahli Parlimen pembangkan­g yang lantang, Nikol Pashinyan, ratusan penunjuk perasaan cuba menyekat pintu masuk ke ibu pejabat kerajaan di tengah Yerevan, sebelum polis rusuhan campur tangan dan menangkap puluhan orang yang dibawa ke sebuah balai polis tempatan, seorang wartawan AFP melaporkan dari tempat kejadian.

Penunjuk perasaan mengadakan rapat umum sejak beberapa hari lalu untuk mengecam usaha Sarkisian terus memegang kuasa sebagai perdana menteri di bawah sistem kerajaan berparlime­n baharu.

Pindaan kontrovers­i kepada perlembaga­an yang diluluskan pada 2015 telah memindahka­n kuasa pemerintah daripada presiden kepada perdana menteri.

Pada petang kelmarin, lebih 16,000 berhimpun di Dataran Republik di tengah Yerevan, dan berjanji untuk melancarka­n kempen “keingkaran sivil” di seluruh negara untuk menentang Sarkisian yang disokong oleh Kremlin dan pada Selasa lepas dipilih oleh parlimen untuk memegang jawatan perdana menteri selepas sedekad berkhidmat sebagai presiden.

Pashinyan – yang terdahulu mengumumka­n “permulaan revolusi baldu yang aman” – memberitah­u perhimpuna­n kelmarin bahawa matlamat pergerakan protes itu adalah untuk “mengubah kuasa” di Armenia menerusi kempen “keingkaran sivil” di seluruh dunia dan protes duduk tetap di dalam bangunan kerajaan.

Jumlah penunjuk perasaan menurun kelmarin, berbanding kira-kira 40,000 dalam perhimpuna­n pada Selasa lepas – yang terbesar pernah dilihat di Armenia sejak sekian lama.

Protes bermula di Yerevan pada Jumaat lepas dan sejak itu menular ke bandar raya kedua dan ketiga terbesar di negara itu, Gyumri dan Vanadzor.

Pada Isnin lepas polis menggunaka­n bom tangan pegun ke atas penunjuk perasaan yang cuba menembusi pagar dawai berduri untuk pergi ke bangunan parlimen.

Pihak berkuasa berkata 46 orang, termasuk enam anggota polis dan ketua pembangkan­g, Pashinyan, mendapatka­n bantuan perubatan.

Presiden baharu negara, Armen Sarkisian, mengangkat sumpah pada minggu lepas tetapi kuasanya akan dikurangka­n di bawah sistem kerajaan baharu.

Kedua-dua lelaki tersebut tidak ada pertalian kekeluarga­an.

 ?? — Gambar AFP ?? HURU-HARA: Anggota pasukan khas menangkap penunjuk perasaan antikeraja­an di hadapan ibu pejabat kerajaan di tengah Yerevan, Armenia semalam.
— Gambar AFP HURU-HARA: Anggota pasukan khas menangkap penunjuk perasaan antikeraja­an di hadapan ibu pejabat kerajaan di tengah Yerevan, Armenia semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia