Utusan Borneo (Sarawak)

Ling menggesa pengundi Cina DUN Nangka keluar mengundi

-

SIBU: Penyandang kerusi Parlimen Sibu Oscar Ling menggesa pengundi Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka keluar mengundi beramai-ramai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Beliau berkata, DUN Nangka adalah di bawah Parlimen Sibu dan banyak yang tidak keluar mengundi khususnya kaum tersebut pada pilihan raya lalu.

“Berdasarka­n tinjauan saya selama ini, ramai masyarakat tidak tahu bahawa kawasan Nangka adalah sebahagian daripada kawasan Parlimen Sibu.

“Selain DUN Nangka, Parlimen Sibu terdiri daripada dua lagi kawasan DUN iaitu Pelawan dan Bawang Assan.

“Oleh itu, saya menggesa pengundi Cina di kawasan Nangka keluar mengundi pada PRU14 ini,” katanya pada pelancaran bilik operasi Harapan Parlimen Sibu di Ibu Pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Rejang Park, di sini semalam.

Hadir sama penyandang kerusi Parlimen Lanang Alice Lau, ADUN Pelawan David Wong dan ADUN Bukit Assek Irene Chang.

Ling yang dicalonkan semula oleh DAP Negeri untuk penggal kedua berkata, DAP memerlukan kadar pengundian tinggi untuk memastikan kemenangan­nya.

Menurutnya, kawasan Parlimen Sibu mempunyai 74,000 pengundi di mana 52 peratus adalah pengundi Cina, Melayu (11 peratus), Dayak (25 peratus) dan selebihnya lain-lain.

“Masalahnya di Sibu banyak pengundi Cina sebenarnya berada di luar negeri dan mereka perlu pulang untuk mengundi.

“Saya berkata demikian bukan saya bersifat perkauman,” katanya sambil menambah, masyarakat Cina dilihat lebih cenderung menyokong pembangkan­g kerana mereka tinggal di kawasan bandar.

Ling berkata pusat operasinya dibuka bermula jam 8 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Jumaat manakala pada Sabtu (jam 8 pagi hingga 12 tengah hari) dan Ahad (tutup) berkuat kuasa semalam hingga 9 Mei.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia