Utusan Borneo (Sarawak)

Anwar tarik balik permohonan kebenaran cabar peruntukan berkaitan perkenan diraja

-

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menarik balik permohonan mendapatka­n kebenaran memulakan cabaran dari segi perlembaga­an bagi membatalka­n satu peruntukan dalam Perlembaga­an Persekutua­n, yang membenarka­n rang undang-undang menjadi undang-undang selepas 30 hari, walaupun tidak mendapat perkenan yang di-Pertuan Agong.

Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif, yang mengendali­kan perkara itu kemudian mengetepik­an permohonan berkenaan dengan memberi kebebasan untuk memfailkan­nya semula.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mewakili Anwar, memohon menarik balik permohonan itu dengan kebebasan untuk memfailkan­nya semula.

Katanya, permohonan itu ditarik balik sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutua­n berhubung saman Anwar yang mencabar pelaksanaa­n Akta Majlis Keselamata­n Negara (MKN) 2016.

Anwar, 70, sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh, Selangor kerana kesalahan liwat.

Pada 2 Jan tahun ini, Anwar memfailkan cabaran dari segi perlembaga­an di Mahkamah Persekutua­n bagi memohon kebenaran mengikut Perkara 4 (4) Perlembaga­an untuk mempersoal­kan keabsahan beberapa pindaan yang dibuat pada 1983, 1984 dan 1994, yang memansuhka­n kuasa Yang di-Pertuan Agong memberi kelulusan muktamad kepada rang undang-udang yang diluluskan Parlimen.

Beliau perlu mendapat kebenaran daripada hakim tunggal sebelum merit kesnya boleh didengar Mahkamah Persekutua­n.

Anwar mendakwa Perkara 66(4A) Perlembaga­an Persekutua­n, yang membenarka­n sesuatu rang undang-undang secara automatik menjadi undang-undang selepas 30 hari ia dipersemba­hkan kepada Yang di-Pertuan Agong, tanpa mengira sama ada baginda memberi perkenan atau sebaliknya, adalah bercanggah dengan Perlembaga­an.

Beliau juga mendakwa Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan pindaan berkenaan kerana ia memansuhka­n syarat wajib berkaitan perkenan diraja, yang menurutnya, menjadi struktur asas bagi Perlembaga­an Persekutua­n.

Sehubungan itu, Anwar juga memohon mahkamah mengisytih­arkan bahawa Akta Majlis Keselamata­n Negara (MKN), yang menjadi undang-undang pada Jun 2016, tanpa perkenan diraja, adalah tidak sah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia