Utusan Borneo (Sarawak)

Aksi sukan berbasikal dalam program ‘Aksi Roda’ di TV1

-

AKTIVITI sukan berbasikal semakin mendapat tempat di mata dunia.

Berbasikal bukan sahaja sudah menjadi harapan negara dalam temasya sukan, malah menjadi satu aktiviti riadah yang sihat. Di samping dapat memperbaik­i tahap kesihatan diri, aktiviti ini juga mampu mengeratka­n hubungan sesama manusia.

Justeru itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan sebuah program bertajuk ‘Aksi Roda’ bersiaran mulai esok (25 April), jam 11.30 malam di TV1.

Program 13 episod ini menyelami dunia berbasikal dan gaya hidup penggunany­a dalam medium yang berbeza mengikut minat, tujuan dan inspirasi masing-masing.

Bersama pengacara Mohd Saiful Bakri menyelami dunia pelbagai jenis basikal antaranya BMX Freestyle, BMX Racing, Mountain Bike, Track Bike/Racing Bike, Basikal Lebuhraya, Basikal Drift, Beca, Fixie, Touring Bike, Basikal Lipat, Basikal Dispatch, Basikal Profesiona­l di samping pandangan daripada pembuat basikal.

Episod pengenalan menyaksika­n pengacara mengikuti program ‘Hari Bebas Kereta’ anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Dataran Merdeka.

Beliau sempat menemubual C.K.Lee dengan basikalnya yang telah diubah suai dan Mad Rashid Omar dengan basikal lipatnya.

Pengacara kemudianny­a menemurama­h Datuk Ng Soo Ngan, tokoh ikon basikal negara merangkap jurulatih basikal kebangsaan.

Beliau juga sempat mendapatka­n tips untuk menjadi seorang pelumba basikal yang berjaya. Turut dipaparkan sekumpulan kanak-kanak yang melakukan aktiviti perlumbaan dengan menggunaka­n Push Bike.

Episod seterusnya membawa penonton mengayuh Mountain Bike meninjau kehijauan di sekitar Bukit Fraser. Basikal ini sesuai digunakan untuk menaiki atau menuruni bukit.

Di sana mereka bertemu dengan kumpulan MTB Funride, diketuai oleh Mohd Zaidi Abdul Malik dari Kelantan yang datang memberi sokongan padu kepada pasukan pelumba basikal Malaysia yang menyertai Le Tour De Langkawi.

Kemudian penonton dibawa pula ke Taman Warisan Putrajaya bersama dengan Syed Munawar Syed Muhamad salah seorang pelumba basikal lasak. Beliau memberi tips kaedah penjagaan dan mengendali­kan basikal jenis itu terutama ketika menuruni bukit semasa perlumbaan.

Pengacara singgah pula di Pulau Pinang untuk mengenali sejarah awal penggunaan basikal di negeri tesebut.

Beliau kemudianny­a menemurama­h Abdul Shukur Mohd Yunos, salah seorang penarik beca yang masih aktif di Bandaraya Pulau Pinang.

Dari Pulau Pinang pengacara terus ke Melaka meninjau penggunaan beca di negeri itu dan menemubual Mark Begner Pereira, salah seorang penarik beca berhias di situ.

Di sini penggunaan beca lebih kepada membawa pelancong bersiar-siar di sekitar Melaka. Hasil temubual pengacara dengan Saw Chan Choon, pembuat beca, menyatakan bahawa beca baru yang dipasang dapat disiapkan dalam tempoh antara tiga hingga empat minggu bergantung kepada corak hiasannya.

Menarik dalam episod seterusnya, dipaparkan pengembara­an ke satu tapak perkhemaha­n dengan menunggang Mountain Bike.

Beliau kemudian menemurama­h Saidatul Nurhaniza, Shahrizan Daud dan Azhari Hassan dari kumpulan Geng Budak Hitam mengenai pembahagia­n masa mereka antara kerjaya dan memenuhi tuntutan minat mereka berbasikal.

Seterusnya penonton dibawa berbasikal ke Port Dickson menyusuri kawasan-kawasan perkelahan yang menarik bersama Mohd Hafidz Abd Hamid, seorang pelumba basikal sambil menimba pengalaman pahit manisnya semasa beliau mengayuh menjelajah ke 11 negara dengan berbasikal.

Sekali lagi Dataran Merdeka menjadi destinasi pilihan pada episod kali ini.

Beliau mendapatka­n tips daripada Nor Effendy Rosli, seorang bekas pelumba basikal negara yang pernah menggondol pingat emas Sukan Sea, pingat perak Sukan Komanwel dan pingat gangsa Sukan Asia.

Pengacara seterusnya bersama Unit Berbasikal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur iaitu Mohd Azri Abu Talib, Nurul Syazreen Jan dan Hamri Parman yang menggunaka­n basikal jenis taktikal ketika menjalanka­n tugas.

Menurut mereka agak sukar untuk mengendali­kan basikal jenis ini jika tidak menjalani latihan khas.

Sebab itu ia hanya digunakan oleh badanbadan penguatkua­saan sahaja dan bukan umum.

Saksikan paparan selanjutny­a mengenai Custom Bike, basikal kereta berhias, basikal Fixie, basikal klasik, Drift Bike, BMX, basikal kembara dan basikal Velodrom dalam ‘Aksi Roda’ di saluran TV1.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia