Saiz dana meningkat kepada RM140.80 bilion dan melebihi sasaran
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) merekodkan pendapatan kasar sebanyak RM9.03 bilion pada 2017, angka tertinggi sejak penubuhannya, berbanding RM6.36 bilion pada 2016.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata saiz dananya meningkat kepada RM140.80 bilion dan melebihi sasaran awal sebanyak RM136.6 bilion tahun lepas.
“Saiz dana kami sebanyak RM140.80 bilion ini menunjukkan pertumbuahan berperingkat-peringkat pada 235.72 peratus dalam tempoh yang pendek dalam sedekad,” katanya pada taklimat media di sini semalam.
Wan Kamaruzaman menjelaskan bahawa pada 2016, KWAP merekodkan saiz dana sebanyak RM126 bilion dan berbanding 2017, mencatat kadar pertumbuhan 12.64 peratus.
KWAP ialah dana pencen kedua terbesar dalam negara selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
“Kami mencatatkan pertumbuhan RM15.8 bilion, pertumbuhan tertinggi saiz dana dalam tempoh 10 tahun, manakala pulangan kasar ke atas pelaburan secara menyeluruhnya meningkat 0.42 peratus kepada 5.77 peratus berbanding 5.35 peratus pada 2016,” kata Wan Kamaruzaman.
Jumlah kutipan bagi 2017 juga meningkat sebanyak 4.96 peratus kepada RM3.51 bilion, meliputi RM3.01 bilion sumbangan pencen dan RM500 juta sumbangan Kerajaan Persekutuan.
Wan Kamaruzaman berkata KWAP akan menyemak semula Peruntukan Aset Strategiknya (SAA) tahun ini, yang bakal menyaksikan dana itu memilih pendapatan pulangan menyeluruh daripada memberi tumpuan ke atas pelaburan.
Ini akan membolehkan KWAP menyelaraskan mandat pelaburannya dan membolehkan pengurus portfolio melaksanakan strategi yang lebih berstruktur dan meningkatkan pulangan ke atas portfolio.
“Peruntukan aset kami terdiri daripada 54 peratus pendapatan tetap, ekuiti (36 peratus) dan 10 peratus ke atas pelaburan alternatif. Namun kini kami berusaha memperuntukkan 46 peratus ke atas pendapatan tetap, 40 peratus dalam ekuti dan 14 peratus pelaburan alternatif,” kata Wan Kamaruzaman.
Beliau juga berkata peruntukan yang lebih besar akan disediakan untuk pelaburan alternatif, selain ekuiti tersenarai dan pada masa yang sama peruntukan untuk ekuiti akan dikurangkan disebabkan pulangan pendapatan yang lebih rendah dalam segmen itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata menerusi peruntukan 14 peratus, sejumlah 10 peratus untuk hartanah, tiga peratus untuk ekuiti swasta dan satu peratus ke atas infrastruktur.
“Ini selari dengan persekitran ekonomi semasa, dan pilihan kami adalah ke atas saham perbankan dan teknologi,” katanya. — Bernama