Pendekatan inovatif kunci kepada penyelesaian isu dihadapi komuniti
KUCHING: Pendekatan inovatif adalah kunci kepada penyelesaian masalah atau isu yang dihadapi komuniti.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata tidak kira tempat tinggal, penyelesaian masalah boleh didapati jika seseorang itu meletakkan minda dan pemikiran mereka dalam masalah.
“Apabila penyelesaian dijumpai ia adalah inovasi oleh diri kita sendiri,” kata Fadillah ketika merasmikan Program Memupuk Inovasi Menerusi Projek Komuniti (Fitcop) di Dewan Tanjung, Tupong di sini semalam.
Dengan penyelesaian dalam minda, seseorang itu boleh terus mengeluarkan produk atau perkhidmatan untuk menyelesaikan masalah bagi kebaikan komuniti.
Dari situ katanya, produk atau perkhidmatan tersebut boleh diperluaskan untuk mewujudkan pasaran baharu kepada komuniti yang lain.
“Ia juga penting untuk individu dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang betul dan tidak takut untuk jatuh,” kata Fadillah yang juga calon Barisan Nasional (BN) Petra Jaya.
Menurut beliau, seseorang itu akan belajar banyak daripada kesilapan dan kegagalan sendiri.
Dalam perkara lain, Fadillah berkata beliau akan terus berkhidmat kepada rakyat di Petra Jaya jika diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Mengenai program tersebut, pengerusi Koperasi Belia Inovatif Sarawak (KOBIS) Zaiwin Kassim berkata ia diadakan sempena Minggu Kreativiti dan Inovatif Dunia yang diadakan setiap tahun dari 15 hingga 21 April.
Program yang diadakan buat pertama kalinya di Tupong ini menarik penglibatan sekitar 50 peserta untuk berkongsi kreativiti dan idea inovatif mereka dalam penyelesaian masalah.
Selain KOBIS, program turut disokong Kementerian Pelancongam Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan.