BDA buka ruang niaga bantu tingkatkan ekonomi rakyat
BINTULU: Kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) telah melaksanakan beberapa pendekatan untuk membantu mempertingkatkan ekonomi rakyat khususnya penduduk kampung dengan membuka ruang untuk mereka berniaga.
Presiden Parti Demokratik Progresif( PDP) yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen P217 Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berkata, perkara itu pernah dibincangkannya semasa pertama kali bertemu dengan seorang ketua kampung di bahagian ini berkenaan usaha yang dapat meningkatkan taraf hidup penduduk kampung.
Hasil perbincangan itu katanya, beliau telah mengemukakan perkara itu kepada BDA yang kemudian mengurus dan melaksana projek tapak niaga yang dicadangkan meskipun agak mengambil masa tetapi akhirnya pada hari ini usaha itu telah dapat direalisasikan.
“Apa yang penting BDA telah melaksanakan tanggungjawabnya maka rakyat terutama peniaga pula perlu menghargai usaha yang dibuat itu dengan bekerjasama menjaga kebersihan tapak niaga terbabit.
“Bukan sahaja memastikan kawasan niaga sentiasa bersih bahkan menjaga kesihatan penduduk dan pengunjung yang membeli barang niaga lebih terjamin, sekali gus kesannya membantu meningkatkan ekonomi peniaga di kawasan terbabit,” ujarnya ketika berucap merasmikan 62 lot tapak niaga bernilai RM1.2 juta di Kampung Assyakirin malam kelmarin.
Beliau turut berharap kemudahan lengkap terutama lampu jalan untuk menerangi laluan dan kawasan tapak perniagaan terbabit dipertingkatkan BDA bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dan pengguna jalan raya.
Tiong yang juga duta khas perdana menteri ke Asia Timur berkata, bagi peniaga yang tidak mendapat peluang untuk berniaga di kawasan itu, BDA perlu diberi ruang mencari tapak baharu untuk menyediakan tapak niaga di kawasan lain bagi memenuhi permintaan terbabit.
“Kita akan cuba menanganinya namun kadangkadang ada segelintir yang tidak sabar dengan membuat aduan tetapi tidak mengetahui permasalahan sebenar kerana ia tidak dapat ditangani serta-merta, sebaliknya kita perlu memikir dan mendalaminya,” jelasnya.
Seiring perubahan zaman, beliau turut menyeru rakyat tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara dalam media sosial untuk menyebarkan berita palsu yang akan memberi kesan buruk kepada masyarakat.
“Jangan menyebarkan berita palsu, sebaliknya perlu bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis dalam media sosial dan perlu mendisiplinkan diri bukan disebabkan adanya undang-undang akta berita palsu,” tegasnya.
Justeru beliau mengingatkan rakyat agar menilai isu-isu yang dibangkitkan dalam media sosial sebelum membuat keputusan akhir terhadap pelbagai perkara terutama terhadap pemimpin- pemimpin di negara ini.
Tiong juga menyeru serta berharap rakyat dapat memberi sokongan penuh kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Turut hadir Pengurus Besar BDA Rodziah Morshidi, Timbalannya Abdullah Mohd Sheriff, Temenggung Datuk Barry Yek, Temenggung Rosli Kamaruddin dan Ketua Kaum Kampung Assyakirin Fasa 1 Pengiran Hamdan Pengiran Kerta serta ketua-ketua masyarakat yang lain.