Pastikan perjuangan tuntut hak dapat diteruskan
Penduduk diingat sokong Nancy agar beliau dapat teruskan perundingan berkaitan MA63
Undilah Datuk Seri Nancy Shukri untuk pastikan perjuangan terhadap tuntutan Sarawak dalam MA63 berjalan lancar dan terus terlaksana.
SADONG JAYA: Rakyat Sarawak harus memastikan perjuangan terhadap tuntutan hak negeri yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat diteruskan dan terlaksana.
Perkara itu ditegaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo yang mengingatkan agar penduduk Parlimen Batang Sadong memberi sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Nancy Shukri supaya beliau dapat meneruskan perundingan berkaitan MA63 tetap dijalankan dan direalisasikan.
“Undilah Datuk Seri Nancy Shukri untuk pastikan perjuangan terhadap tuntutan Sarawak dalam MA63 berjalan lancar dan terus terlaksana,” katanya ketika berucap semasa berkempen sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Sadong Jaya kelmarin.
Malah Aidel meminta semua pemimpin di seluruh ranting PBB di Sadong Jaya untuk menyampaikan mesej tersebut kepada lebih 6,700 pengundi yang terdiri daripada pengundi Melayu (5,917), Cina (753) dan Iban (92).
Menurutnya, Nancy membawa suara rakyat Sarawak dalam Jawatankuasa Peman- du Pelaksanaan Penurunan Kuasa Antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah (Devolution of Authority) yang dipengerusikan beliau bersama Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Luar Malaysia.
Tambah Aidel, komitmen perjuangan Nancy dalam memastikan tuntutan rakyat Sarawak dipenuhi kerajaan persekutuan terbukti apabila perkara ini menjadi antara inti pati penting dalam Manifesto BN Persekutuan yang telah diumumkan perdana menteri.
Selain itu, hubungan rapat Nancy dengan menteri persekutuan amat memberi manfaat kepada rakyat negeri ini terutama penduduk di Parlimen Batang Sadong dari segi projek pembangunan infra-rakyat.
Justeru, beliau menggesa seluruh penduduk di Parlimen Batang Sadong memangkah BN dan memberi mandat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu agar lebih banyak projek berimpak tinggi dapat dinikmati rakyat.
Pada Mac lalu, Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Penurunan Kuasa Antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah (Devolution of Authority) telah bermesyuarat dipengerusikan bersama Anifah Aman dan Nancy.
Pelaksanaan penurunan kuasa antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri sudah bermula dengan kebanyakan 13 perkara administratif yang telah dipersetujui sebelum ini, telah berjaya dilaksanakan.
Antaranya, pemberian tauliah mengikut Kanun Tatacara Jenayah kepada para pegawai undang-undang negeri oleh pendakwa raya untuk membuat pendakwaan bagi kesalahan mengikut ordinan negeri daripada peringkat seseorang itu dikenakan pertuduhan di mahkamah rendah, hinggalah ke peringkat rayuan.
Selain itu, penambahan 100 jawatan baharu dengan pengisian sepenuhnya dalam Jabatan Imigresen Sarawak bagi menambah baik fungsi penguatkuasaan di Sarawak juga telah dilaksanakan sepenuhnya.
Beberapa perkara lain seperti isu Jabatan Kebajikan, kini berada di peringkat akhir perbincangan.
Aidel Lariwoo yang ADUN Sadong Jaya