Lebih RM1.12 bilion untuk bangunkan projek-projek air, air buangan
KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air ( KeTTHA) yakin dapat meluaskan liputan bekalan airnya sehingga 99 peratus ke seluruh negara menjelang 2020 berbanding 96.4 peratus pada masa ini.
Timbalan Ketua Setiausahanya Datuk Dr Tan Yew Chong berkata kementerian itu juga menyasarkan untuk meningkatkan perkhidmatan pembetungan bersambung kepada 85 peratus berbanding 78.7 peratus pada masa ini selain mengurangkan air bukan hasil kepada 31 peratus berbanding 34.6 peratus.
“Lebih RM1.12 bilion diperuntukkan untuk membangunkan projek- projek air dan air buangan dalam tempoh sasaran lima tahun yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11, yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam usaha memperkukuh infrastruktur bagi menyokong perluasan ekonomi,” katanya kepada pemberita pada perasmian Trenchless Asia 2018, di sini semalam.
Beliau berkata antara kaedah bagi mencapai sasaran itu ialah dengan mengguna pakai teknologi ‘trenchless’ ( pemulihan), seperti yang dilaksanakan dalam projek Sistem Loji Rawatan Kumbangan Serantau di Ipoh, Perak.
Projek itu yang secara keseluruhannya bernilai RM2.12 bilion, dan dijangkakan siap pada 2022, akan menggabungkan 80 peratus teknologi itu menggunakan kaedah pemasangan lengkong, yang boleh meminimumkan halangan lalu lintas dengan pembinaan lubang, minimumkan kerosakan kepada perabot jalan sedia ada serta mengurangkan aduan awam.
“Kami menggalakkan peserta industri di negara ini memanfaatkan pameran dan persidangan Trenchless Asia 2018 dan memanfaatkan peluang untuk memperluaskan aplikasi teknologi ini kerana kaedahnya mampan, memacu teknologi hijau, mengurangkan pencemaran dan boleh menjimatkan sehingga 50 peratus masa pembinaan,” kata Tan.
Beliau berkata bagi menerajui penggunaan teknologi trenchless, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan, diketuai oleh Indah Water Consortium. bagi merangka penubuhan piagam Malaysia yang menggariskan program pembinaan kapasiti dan latihan antara Malaysia dan negaranegara maju seperti Amerika Syarikat dan Jerman.
Acara ini membantu beberapa bandar di seluruh dunia untuk menggalakkan teknologi tiada penggorekkan bagi mengganti atau membaiki paip bawah tanah.
Teknologi trenchless membabitkan kerja pembinaan bawah tanah yang memerlukan sedikit parit atau tanpa parit yang panjang. — Bernama