Infrastruktur pengangkutan di rantau ini berpotensi besar
Perbelanjaan meningkat hampir dua kali ganda pada 2025
KUALA LUMPUR: Perunding kejuruteraan dan pengurusan projek, HSS Engineers Bhd melihat potensi besar dalam sektor infrastruktur pengangkutan di rantau ini serta industri air tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Nitchiananthan Balasubramaniam berkata, perbelanjaan untuk infrastruktur jalan raya, kereta api, laut dan lapangan terbang di enam negara, iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Thailand dan Vietnam dijangka meningkat hampir dua kali ganda kepada AS$81 bilion pada 2025 berbanding AS$47 bilion pada 2015.
“Pertumbuhan infrastruktur Asia Tenggara akan didorong oleh pertambahan penduduk dan urbanisasi, peningkatan mobiliti serta permintaan untuk pengangkutan dan meningkatkan daya saing perdagangan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, semalam.
Di peringkat tempatan, beliau berkata, syarikat itu melihat industri air sebagai pemacu pertumbuhan masa depan dengan lebih banyak projek yang dijangka dilak- sana oleh Pengurusan Aset Air Bhd.
Menurutnya, tender untuk projek air menyumbang kirakira 30 hingga 40 peratus daripada buku tender bernilai RM500 juta syarikat itu.
Buku tempahan, sebaliknya, berjumlah RM962.5 juta, dengan 68 peratus daripada sektor kereta api, 14 peratus daripada lebuh raya, 13 peratus daripada industri air, empat peratus projek infrastruktur dan satu peratus daripada sektor lain.
Sementara itu, Nitchiananthan berkata, syarikat itu juga merancang pengambilalihan selepas menyelesaikan pembelian SMHB Engineering Sdn Bhd untuk RM270 juta pada Mac lepas.
“Kami merancang pengambilalihan tetapi kami tidak tergesa-gesa dan kami mahu berhati-hati dalam berbuat demikian,” katanya.
HSS Engineers terlibat dalam penyediaan perkhidmatan kejuruteraan dan pengurusan projek yang merangkumi reka bentuk kejuruteraan, pengurusan projek, penyeliaan pembinaan dan perkhidmatan pemodelan maklumat bangunan. — Bernama