Utusan Borneo (Sarawak)

Rundingan kawasan pertindiha­n sempadan perairan M’sia-Indonesia perlu berterusan

-

PONTIAN: Rundingan mengenai kawasan pertindiha­n sempadan perairan antara kerajaan Malaysia dan Indonesia perlu berterusan bagi membela nasib nelayan yang sering ditahan pihak berkuasa akibat kekeliruan yang timbul berhubung perkara itu.

Timbalan Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri Datuk Seri Ahmad Maslan berkata isu kawasan pertindiha­n itu perlu diatasi segera supaya tidak menjejaska­n golongan nelayan negara ini.

“Apabila nelayan melihat data yang ada pada bot mereka ( ia menunjukka­n) mereka berada di perairan Malaysia, tetapi data yang ada pada penguat kuasa Indonesia (sebaliknya menunjukka­n) kawasan itu adalah di perairan Indonesia.

“Inilah situasi yang sering kali berlaku. Saya harap perbincang­an antara dua negara ini kerap dilaksanak­an agar satu penyelesai­an yang tuntas dan muktamad mengenai sempadan dapat dicapai agar nelayan tidak menjadi mangsa (keadaan),” katanya kepada pemberita selepas program Lautan Biru bersama nelayan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Pusat Perdaganga­n Bandar Baru Pontian, di sini semalam.

Ahmad berkata demikian ketika mengulas Mahbob Hasimat, nelayan daerah ini, yang baharu dibebaskan dari Rumah Tahanan Tanjung Pinang, semalam.

“Saya bagi pihak nelayan Pontian ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Indonesia atas pembebasan Mahbob yang telah dijatuhi hukuman selama setahun di Rumah Tahanan Tanjung Pinang,” katanya.

Mahbob, 57, yang ditahan di perairan Indonesia pada 11 Ogos tahun lepas, dijangka tiba di jeti Stulang, dekat Johor Bahru, pada jam 3 petang semalam.

Setakat ini terdapat lebih 2,000 nelayan di daerah Pontian termasuk nelayan pesisir pantai. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia