Utusan Borneo (Sarawak)

Polis masih buru individu ugut bunuh petugas SPR

-

SEREMBAN: Polis masih mengesan individu yang terlibat dengan kes ugutan bunuh ke atas seorang pembantu petugas Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR).

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata pihaknya sedang berkerjasa­ma dengan Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia ( MCMC) bagi mengesan individu yang terbabit.

“Belum ada tangkapan setakat ini dan kita masih mengesan individu yang membuat ugutan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, semalam.

Pada 1 Mei lepas, seorang pembantu petugas SPR berusia 36 tahun bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau selepas menerima ugutan bunuh.

Mangsa sebelum itu menerima pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp daripada rakannya yang berkongsi paparan skrin daripada laman media sosial Facebook yang memuat naik gambarnya berserta komen berbaur ugutan terhadapny­a.

Dalam pada itu, Noor Azam memberi jaminan keselamata­n terhadap pengundi dan akan memantau situasi dari semasa ke semasa bagi memastikan proses mengundi berjalan dengan lancar hari ini.

“Saya minta pengundi keluar awal ke pusat-pusat mengundi kerana bimbang perubahan cuaca selain pertambaha­n jumlah kenderaan yang akan menyebabka­n kesesakan lalu lintas,” katanya.

Beliau turut menasihatk­an pengundi mematuhi arahan petugas SPR bagi melancarka­n proses mengundi dan mengingatk­an mana- mana pihak supaya tidak mencetuska­n provokasi yang boleh menimbulka­n ketegangan dan pergaduhan.

Sebanyaki 3,721 anggota dan pegawai polis akan bertugas di Negeri Sembilan bagi memastikan proses pengundian PRU14 berjalan dengan lancar hari ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia