Larry buat kejutan tumpaskan Salang
JULAU: Calon Bebas Larry Sng membuat kejutan selepas menumpaskan penyandang empat penggal Datuk Joseph Salang di P.209 Julau.
Larry menang dengan majoriti 1,931 undi selepas memperolehi 10,105 undi manakala Salang mendapat 8, 174 undi.
Keputusan rasmi diumumkan Pegawai Pilihan Raya Khalid Andong di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan SMK Julau No.2.
Seramai 25,380 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Julau yang majoritinya pengundi kaum Iban.
Dalam jumlah itu, sejumlah 18,569 kertas undi dikeluarkan, 241 undi ditolak manakala 49 lagi kertas undi tidak dimasukkan ke dalam peti undi.
Larry yang ditemani bapanya yang merupakan bekas Ahli Parlimen Julau Datuk Sng Chee Hua tiba seawal jam 6 petang.
Bagaimanapun Salang tidak hadir semasa pengumuman keputusan.
Sng menjadi Ahli Parlimen Julau selama satu penggal mulai 1995 ketika bersama Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).
Beliau juga adalah antara pengasas PRS tetapi dipecat pada 2006.
Pada PRU13, Salang memenangi kerusi Parlimen Julau dalam pertandingan tiga penjuru melibatkan Wong Judat daripada Parti Pekerja Sarawak (SWP) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wong Hong Yu.
Salang menang dengan memperoleh sebanyak 89,891 undi diikuti Wong Judat 3,936 undi dan Wong 2,852 undi.