Terbuka Madrid: Halep mudah ketepi ancaman Mertens
MADRID, Sepanyol: Juara bertahan, Simona Halep, menghampiri kejuaraan ketiga berturut-turut di Terbuka Madrid apabila menewaskan Elise Mertens dari Belgium pada pusingan kedua kejohanan Selasa lepas.
Halep, juara pada 2016 dan 2017, dipaksa bekerjakeras pada set kedua sebelum melakar kemenangan 6-0 dan 6-3.
Kristyna Pliskova dari Republik Czech akan menentang Halep di pusingan 16 akhir ketika jaguh dari Romania itu terus membuat persediaan untuk Terbuka Perancis, di mana beliau muncul naib juara sebanyak dua kali.
Halep menang lapan permainan berturut-turut mendahului 6-0 dan 2-0 sebelum Mertens melakukan kebangkitan minit akhir.
“Saya fikir saya bermain dengan baik sekali lagi,” kata Halep. “Ia adalah perlawanan kedua kejohanan ini dan saya berasa hebat.”
Pada perlawanan awal, Petra Kvitova dipaksa bekerja-keras sebelum menewaskan Monica Puig dari Puerto Rico 6-3 dan 7-6(10/8) untuk kemenangan ketujuh berturut-turut.
Kvitova memenangi kejuar- aan di Prague minggu lepas dan beliau mengekalkan rentak untuk menempah pertemuan menentang Anett Kontaveit dari Estonia.
Garbine Muguruza, pemain tuan rumah, bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Donna Vekic 2-6, 6-4 dan 6-1 dan melangkah ke pusingan ketiga kejohanan di sini buat kali pertama dalam kariernya.
Di pusingan ketiga, beliau akan bertemu Daria Kasatkina dari Rusia, yang mudah menewaskan Sorana Cirstea.
Pilihan keempat yang juga juara Terbuka Itali, Elina Svitolina, dikejutkan 6-2, 6- 7(3/7) dan 6-4 oleh Carla Suarez Navarro dari Sepanyol.
Pemain ranking keempat dunia dari Ukraine itu akan kembali menjalani latihan untuk mempertahankan kejuaraannya di Rom minggu hadapan sementara Suarez Navarro akan menentang Bernarda Pera dari Amerika Syarikat (AS), yang menewaskan pemain Britain, Johanna Konta 6-4 dan 6-3.
Dalam bahagian lelaki, Juan Martin del Potro dari Argentina, memulakan musim di permukaan tanah liat dengan kemenangan apabila menewaskan Damir Dzum- hur pada perlawanan pertama beliau sejak tewas di separuh akhir Terbuka Miami pada bulan Mac.
Bekas juara Terbuka AS itu menewaskan lawannya dari Bosnia 6-3 dan 6-3.
Di pusingan seterusnya, Del Potro akan menentang Dusan Lajovic dari Serbia, yang menewaskan pemain veteran Perancis, Richard Gasquet 7-6 (7/1) dan 7-6 (7/1).
Pemain ranking keempat dunia, Grigor Dimitrov, bagaimanapun pulang awal apabila tewas kepada Milos Raonic dari Kanada 7-5, 3-6 dan 6-3. — AFP