Riot nafi tinggalkan BN untuk sertai PKR
Beliau tidak hadir pada mesyuarat CWC SUPP kerana berada di KL hadiri mesyuarat BN
KUCHING: Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem tidak dapat hadir pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak ( SUPP) malam kelmarin (Isnin) kerana berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat Barisan Nasional (BN).
Perkara itu dimaklumkan oleh sumber terdekat dengan Riot, bagi menepis dakwaan ba- hawa timbalan presiden SUPP itu akan meninggalkan partinya kerana mahu menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ketidakhadiran Riot pada mesyuarat CWC SUPP yang pertamadiadakanselepasPilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan dipengerusikan Presidennya Datuk Dr Sim Kui Hian di ibu pejabat SUPP di sini, telah mengaitkannya dengan spekulasi bahawa beliau akan menyertai PKR.
Namun demikian, bekas Menteri Sumber Manusia itu kelmarin dilapor menafikan dirinya akan meninggalkan BN untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) yang kini menjadi kerajaan persekutuan.
Sebaliknya, beliau menegaskan akan kekal berdiri teguh bersama BN Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Pada masa ini, hangat diperkatakan bahawa Riot akan menyertai PKR di mana beliau sudah mengemukakan permohonan keahliannya kepada pejabat PKR Negeri, barubaru ini.
Beliau merupakan satu-satunya calon SUPP yang menang pada PRU14, dalam pertembungan tiga penjuru dengan majoriti 9,905 undi di kerusi majoriti Bidayuh itu.
Namun demikian, usaha untuk mendapatkan penjelasan dan pengesahan daripada Riot berhubung isu terbabit gagal kerana beliau tidak dapat dihubungi.
Sementara itu, CWC SUPP menerusi kenyataan media menyatakan mereka menghormati pilihan rakyat dan mengucapkan tahniah kepada PH atas kejayaan dalam PRU14.
Menurutnya, agenda utama yang dibincangkan pada mesyuarat mereka adalah berhubung hala tuju parti berasaskan Cina itu, yang tewas teruk kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP).
“Objektif untuk memperjuangkan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 kekal menjadi keutamaan kami,” katanya.