UTP melonjak 14 kedudukan kepada kedudukan ke-77 dalam ranking
KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Petronas ( UTP) melonjak 14 anak tangga kepada kedudukan ke-77 dalam ranking universiti Times Higher Education (THE) 2018.
Tahun lepas UTP pada kedudukan ke- 91 antara terbaik dalam kalangan universiti di rantau Brazil, Rusia, India dan China (BRICS) dan ekonomi pesat membangun.
Pemangku Naib Canselor UTP Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dalam satu kenyataan berkata pengiktirafan THE merupakan pencapaian yang dibanggakan dan universiti akan terus berusaha untuk meningkatkan kedudukan.
“Dedikasi dan komitmen berterusan semua orang dalam memastikan kecemerlangan menerusi pelbagai inisiatif seperti aktiviti pengajaran dan penyelidikan serta operasi universiti, dapat dilihat dalam ranking universiti ini,” katanya.
Menurut UTP, ranking terkini berkenaan meletakkan universiti itu dalam kalangan 100 universiti terbaik dalam penyelidikan di dunia membangun, manakala di Malaysia, ia menduduki tempat kedua selepas Universiti Malaya (UM) yang berada pada kedudukan ke-27.
Tujuh universiti Malaysia lain yang turut dalam ranking berkenaan ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada kedudukan 101, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 108, Universiti Tunku Abdul Rahman ( UTAR) pada 114, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 135, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 151 dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) 159. Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam lingkungan 251-300.
Dari segi skor, UTP mencatat markah keseluruhan 32.0 manakala UM 40.9. UTP mencatat pendapatan industri tertinggi (87.5 peratus) di Malaysia dan kedua di Malaysia selepas UM bagi tinjauan antarabangsa (63.2 peratus).
Sementara itu, lebih 350 institusi daripada 42 negara diklasifikasikan oleh Financial Times Stock Exchange (FTSE) sebagai ‘advanced emerging’, ‘secondary emerging’ dan ‘frontier’.
Ranking berkenaan menggunakan 13 petunjuk prestasi yang sama seperti THE World University Rankings, mengkaji setiap kekuatan universiti terhadap semua misi terasnya.
Penunjuk prestasi dikelompokkan kepada lima bidang: pengajaran ( persekitaran pembelajaran), penyelidikan (jumlah, pendapatan dan reputasi), ‘citation’ (pengaruh penyelidikan), pandangan antarabangsa ( kakitangan, pelajar dan penyelidikan) serta pendapatan industri (pemindahan pengetahuan).
Bagaimanapun, metodologi telah diteliti untuk lebih mencerminkan ciri-ciri dan keutamaan pembangunan universiti-universiti di negara maju. — Bernama