Utusan Borneo (Sarawak)

LELAKI TEMBAK MAJIKAN KERANA ENGGAN CAMPUR MASALAH PERIBADI

-

KAPIT: Seorang majikan cedera ditembak dengan senapang patah oleh seorang pekerjanya apabila beliau enggan mencampuri masalah peribadi pekerjanya itu.

Ketua Polis Daerah Kapit DSP Freddy Bian yang mengesahka­n kejadian tersebut memberitah­u Bernama, mangsa ditembak dalam jarak lebih kurang lapan meter.

Beliau berkata, sebelum itu suspek berusia dalam lingkungan 34 tahun telah menahan majikannya itu yang berusia 33 tahun di simpang empat Jalan Sibau pada jam 1.30 pagi dan meminta mangsa membantu menyelesai­kan masalah suspek dengan teman wanitanya.

“Mangsa tidak mahu membantu kerana itu merupakan masalah peribadi dan terus beredar dengan kenderaann­ya.

“Berikutan itu suspek berasa marah dan terus melepaskan satu das tembakan ke arah belakang kereta mangsa,” kata beliau.

Lelaki itu yang mengalami kecederaan di bahu, cuping telinga dan tangan bahagian kanan memandu terus ke Hospital Kapit dalam keadaan kesakitan untuk mendapatka­n rawatan. Keadaannya dilaporkan stabil.

Menurut DSP Freddy, satu operasi mengesan suspek telah digerakkan sebaik sahaja dimaklumka­n pihak Hospital Kapit mengenai kejadian berkenaan sekitar jam 2 pagi.

Suspek berjaya dikesan bersembuny­i di rumah rakannya di Taman Exora dan terus diberkas, kira-kira sejam kemudian.

“Dalam serbuan itu polis menjumpai selaras senapang patah buatan sendiri itu dan kelongsong peluru disyaki digunakan oleh suspek yang disembunyi­kan di bawah sofa di ruang tamu rumah tersebut.

“Suspek telah ditahan di Balai Polis Kapit untuk siasatan lanjut,” jelasnya sambil menambah, suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan baharu keluar penjara tahun lalu.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh dan Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 iaitu memiliki senjata api bagi tujuan melakukan jenayah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia