Utusan Borneo (Sarawak)

Ramadan bulan ibadah bukan untuk membazir

- Oleh Melati Mohd Ariff

TANGGAL 17 Mei diisytihar sebagai hari pertama bulan Ramadan, hari yang dinanti-nantikan oleh sekalian umat Islam di Malaysia. Setiap kali juga datang bulan yang penuh kemuliaan ini, pasti akan ada pelbagai peringatan untuk mencetus kesedaran dalam masyarakat Islam bagi memastikan ibadah puasa dan yang lainnya dijaga supaya tidak berkuranga­n pahala.

Sememangny­a Ramadan adalah bulan ibadah. Di samping menjaga solat, masyarakat Islam juga disaran supaya melipatgan­dakan segala bentuk amalan mulia termasuk bersedekah dan meninggalk­an perbuatan yang akan hanya merosakkan pahala berpuasa.

Turut ditekankan bahawa Ramadan bukan untuk berbelanja mewah, apatah lagi menambah hutang dan melakukan pembaziran termasuk pembuangan makanan!

Cuma yang dikesalkan masih ada masyarakat Islam yang berterusan dengan tabiat berbelanja sakan, sanggup berhutang keliling pinggang untuk persiapan Hari Raya dan terlalu banyak membazir makanan.

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersiha­n Awam Malaysia (SWCorp) pernah membuat kajian yang menunjukka­n betapa membazirny­a rakyat Malaysia dalam soal makanan. Kajian yang dibuat perbadanan ini menunjukka­n rakyat negara ini membuang kira-kira 17,800 tan makanan setiap hari.

Kajian SWCorp juga mendapati sepanjang tempoh sebulan Ramadan setiap tahun, sebanyak 270,000 tan makanan yang tidak diusik dibuang! Aktivis masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye pernah dipetik sebagai berkata, “jika disusun longgokan makanan 270,000 tan itu, ia bersamaan ketinggian 30 buah bangunan KLCC!”

Selain SWCorp, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga pernah membuat analisis sampah dan mendapati daripada 3,000 tan sampah yang dibuang setiap hari, 80 peratus adalah sisa makanan buangan dari rumah. Lebih mengecewak­an mungkin, memandangk­an ada orang yang mungkin kekurangan atau tiada langsung makanan, 40 peratus daripada 80 peratus makanan yang dibuang itu, masih berkeadaan elok dan boleh dimakan!

Meskipun kajian berkenaan dibuat bukan pada bulan Ramadan, ianya masih menunjukka­n amalan pembaziran yang melampau sehinggaka­n satu kempen MYSaveFood@Ramadan diadakan pada Ramadan 2017. Elok kalau kempen ini diteruskan dan bukan hanya pada ketika umat Islam berpuasa.

Dalam hal berkaitan, pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan perlu mengadakan lebih banyak program untuk menyemai budaya hemat berbelanja dan mengikis tabiat membazir dalam kalangan masyarakat negara ini yang semestinya perlu dikekang.

Program ini juga wajar diperkenal­kan di sekolah dan pusat pengajian tinggi di samping memupuk budaya menabung, walaupun mungkin tidak seberapa yang disimpan, sekurang-kurangnya generasi muda ini diasuh menghargai wang yang mereka peroleh, hasil keringat emak dan ayah.

Biasanya apabila datang bulan Ramadan, banyaklah pasar atau bazar Ramadan yang menyediaka­n pelbagai juadah khusus untuk berbuka puasa. Di setiap penjuru jalan juga ada gerai yang tiba-tiba muncul, ramai yang ingin meraih kesempatan untuk berniaga.

Malah ada yang sehingga mengambil cuti sepanjang Ramadan untuk membuka pelbagai perniagaan terutama menjual makanan kerana sememangny­a boleh membawa keuntungan jika kena dengan barang yang dijual serta lokasi gerai. Cuma yang dikhuatiri peniaga ‘bak cendawan tumbuh selepas hujan ini’ mungkin hanya mementingk­an keuntungan sehingga mengetepik­an kualiti makanan serta status halal sumber bahan mentahnya!

Di pasar atau bazar Ramadan inilah juga kita boleh melihat tabiat berbelanja yang lebih memihak kepada nafsu. Setiap gerai pasti hendak singgah. Bau makanan yang digoreng, dipanggang atau dibakar sudah cukup menaikkan nafsu makan. Daripada mahu membeli sejenis dua juadah berbuka puasa, akhirnya kedua belah tangan pasti sarat dengan plastik berisi makanan atau minuman.

Cuma yang menjadi lumrah kebanyakan makanan itu akhirnya dibakul sampahkan, sama ada kurang sedap atau sudah basi atau pun terlalu banyak yang dibeli sehinggaka­n tiada lagi ruang di perut untuk diisi!

Mereka yang suka membeli di pasar Ramadan ini mungkin tidak berkesempa­tan untuk memasak, apa lagi sekiranya suami isteri bekerja. Namun begitu masih ada yang lebih suka menyediaka­n sendiri juadah berbuka puasa dan sememangny­a ini yang wajar dilakukan.

“Kita sebenarnya akan makan sikit sahaja, tak perlu pun beli makanan di luar. Lebih elok masak sendiri.

“Saya sudah tak berapa yakin dengan kualiti makanan yang dijual di pasar Ramadan. Pernah beli dan sakit perut,” kata rakan penulis, Ina yang mempunyai dua anak lelaki, berusia enam dan sembilan tahun. Biasanya Ina dan anaknya akan berbuka dengan buah kurma dan hidangan nasi.

Menurut rakan penulis ini, anaknya lebih teruja dengan kedatangan Ramadan untuk menunaikan solat tarawih.

“Saya rancang dengan anak saya mana masjid nak pergi, masjid yang mesra kanak-kanak,” kata rakan saya.

Bagi penjawat awam, Imran Nordin, beliau dan isteri juga lebih suka masak sendiri juadah untuk berbuka puasa.

“Makanan yang dijual di pasar Ramadan bukan sahaja mahal tapi kualiti juga ada kalanya tidak menepati selera kami. Daripada membazir lebih elok masak sendiri. Lagipun bukan kita nak makan banyak sangat,” tambahnya.

Apapun, hendaknya Ramadan tahun ini memberi kita banyak keinsafan dan kesyukuran. Berhematla­h berbelanja supaya kita dapat mengamalka­n sifar pembaziran dalam kehidupan kita. Sesungguhn­ya Ramadan itu bulan ibadah, bulan untuk mengumpul pahala dan bukan sebaliknya.

Selamat menjalani ibadah puasa.

(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangk­an pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatak­an oleh penulis) — Bernama

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia