Kerajaan PH harus bersikap adil meskipun Sarawak di bawah BN
KUCHING: Kerajaan persekutuan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) harus bersikap adil untuk membangunkan negara meskipun Sarawak di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).
Penganalisis politik yang juga pensyarah dalam bidang politik di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UNIMAS Dick Lembang Dugun berkata, ini terutamanya berkaitan dengan pendidikan di luar bandar yang amat penting kepada rakyat Sarawak.
“Kita semua telah mengetahui dalam Janji PH semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas dan dari aspek pendidikan atau sekolah, saya percaya kerajaan baharu akan mementingkan perkara ini.
“Ia kerana pendidikan merupakan salah satu cara yang mampu mengubah hidup rakyat khasnya di luar bandar dan saya amat berharap kerajaan baharu akan memberi keutamaan kepada sekolah di luar bandar,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, barubaru ini.
Tambah Dick, dalam membangunkan luar bandar dipercayai kerajaan persekutuan baharu perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri agar usaha berkenaan dapat dilaksana dan dipercepatkan.
Beliau berkata, perkara seperti itu harus dilihat dan diteliti memandangkan Sarawak kini masih ditadbir kerajaan BN tetapi di peringkat persekutuan ditadbir PH.
“Maka itu, dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar nanti kita mahu melihat kerjasama antara Sarawak dan kerajaan persekutuan bagi menentukan tahap pembangunan kita di luar bandar.
“Sama ada mereka sependa- pat atau tidak, itu yang kami sebagai penganalisis akan perhatikan,” katanya.
Mengulas secara keseluruhan kepimpinan yang kini dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, Dick berkata, berdasarkan pengalaman Tun sebelum ini, mungkin memberi kelebihan kepadanya memimpin Malaysia.
Majoriti rakyat Malaysia katanya, memberi sokongan terutama golongan muda kini yang pastinya mahukan pasukan Tun Mahathir yang memimpin negara kini menepati janji telah dinyatakan dalam Manifesto PH pada PRU14 lepas.
“Saya percaya dengan keinginan melihat rakyat serta mahu negara dibangunkan seperti negara lain, kerajaan baharu yang diketuai Tun Mahathir, akan menepati janji mereka dalam manifesto mereka,” katanya.