THe Spring perkenal aplikasi e-wallet BOOST
KUCHING: tHe Spring menjadi pusat membeli- belah pertama di Kuching yang menawarkan pembayaran tanpa tunai menggunakan aplikasi e-wallet yang terkemuka, BOOST.
Inisiatif tersebut telah mendapat pujian daripada Menteri Muda E-Dagang, Datuk Naroden Majais yang kemudian berharap lebih banyak pusat beli-belah di negeri ini turut mengguna pakai kaedah tersebut.
“Ini amat memudahkah di mana kita hanya perlu membuat urus niaga menggunakan telefon bimbit,” katanya ketika merasmikan kempen ‘Together Gather, Jom Celebrate’ di tHe Spring, malam kelmarin.
Dalam pada itu, Naroden turut optimis pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan pusat yang baharu akan mengurangkan beban pembeli khususnya di negeri ini, sekali gus meningkatkan perbelanjaan domestik.
“Dengan ini, kita berharap ia dapat meningkatkan industri runcit, sektor e- dagang termasuk juga industri pelancongan kita,” katanya.
Sementara itu, Naroden juga memuji kempen ‘ Together Gather, Jom Celebrate’ di tHe Spring yang memberi pengalaman kepada orang ramai untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri.
“Mari kita terus menghargai dan meraikan keunikan ini demi generasi masa depan di Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Naroden turut menyertai 130 anak yatim dari Persatuan Kebajikan Yatim Sarawak ( PERYA- TIM) berbuka puasa di Bazar Makanan tHe Spring.
Turut hadir ialah pengurus besar tHe Spring Datin Christine Ling dan ketua pegawai eksekutif BOOST Christ Tiffin.