TPM Dr Wan Azizah mula bertugas
PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Wan Azizah melemparkan senyuman sambil bersalaman dengan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang diketuai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa sejurus keluar dari kenderaan rasminya di lobi Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini, semalam.
Dengan memakai kebaya labuh berbunga merah dan bertudung putih, Dr Wan Azizah melangkah masuk ke lobi Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan mengimbas kad perakam waktu pada jam 9.59 pagi.
Selepas itu, beliau menyertai bacaan doa.
Wanita lemah lembut dan sopan itu melakar sejarah negara apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan setelah mencatatkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Dr Wan Azizah yang diiringi Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM Datuk Seri Mohd Zuki Ali kemudian ke pejabatnya di Aras 4 di mana beliau menandatangani surat rasmi memulakan tugas sebelum menghadiri taklimat khas yang diberikan Ali.
Sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama, Dr Wan Azizah, 66, menyatakan komitmennya untuk bekerjasama dalam pasukan akrab dan saling melengkapi dalam semua usaha yang dicadangkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebagai pemimpin nombor dua negara, Dr Wan Azizah berkata, keutamaan beliau sekarang adalah untuk belajar dan men- dapatkan panduan bagi meneruskan kesinambungan yang terjalin selama ini untuk memenuhi harapan rakyat.
“Mula- mula saya masuk tempat baharu, tempat ( saya) tidak biasa, ( saya) tanya dulu, beri salam jumpa tuan rumah yang telah mengendalikan kementerian ini selama ini.
“Selama 61 tahun kita tidak pernah beralih kuasa, jadi saya kena belajar. Saya perlu mengenali dan mendapatkan panduan daripada pegawai kerajaan yang memberikan perkhidmatan selama ini,” katanya pada sidang media pertamanya sebagai Timbalan Perdana Menteri di sini semalam.
Ditanya tentang pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama, Dr Wan Azizah menyifatkannya sebagai satu penghormatan untuk golon- gan wanita di negara ini.
“Saya rasa ini adalah satu peluang dan juga keistimewaan. Saya rasa amat berbesar hati kerana negara kita dapat mencapai tahap (peralihan) ini secara aman. Saya fikir ia (pelantikan sebagai timbalan perdana menteri) adalah amat bermakna bagi wanita Malaysia,” katanya.
Dalam pertemuan dengan Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, pagi ini, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga berkata, beliau meminta nasihat daripada perdana menteri mengenai langkahlangkah untuk menambah kecekapan dan mengelak pembaziran.
“Perdana Menteri juga memberi saya peluang menggalas tanggungjawab memimpin beberapa agensi untuk membawa penam- bahbaikan oleh pentadbiran baharu ini,” katanya.
Ditanya tentang tahun ini yang dijadikan Tahun Memperkasa Wanita oleh kerajaan sebelum ini, Dr Wan Azizah berkata perkara itu akan dikaji.
“Mungkin ada beberapa penambahbaikan dalam mana-mana rancangan yang ada, jika perlu,” katanya.
Jawatan Timbalan Perdana Menteri itu pernah disandang suaminya Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim dari 1993 sebelum dipecat daripada Kabinet pada 1998.
Dr Wan Azizah, yang juga ibu kepada enam anak, menceburi dunia politik dan menggalas tanggungjawab besar menerajui PKR yang diasaskannya bersama-sama suaminya semasa kemelut politik 1998 bagi mendapatkan keadilan untuk Anwar. — Bernama PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull diminta membuat laporan polis jika benar beliau menerima ancaman semasa menjalankan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan hanya boleh diambil jika laporan polis dibuat dan wujud prima facie selepas siasatan dilakukan.
“Kalau ada laporan bahawa beliau diancam...polis kena siasat, perlu kemukakan fakta dan hasil siasatan.
“Itu prosedur operasi standard kami dan kalau ada prima facie tindakan akan diambil,” katanya pada sidang media selepas memulakan tugas rasmi di kementerinnya di sini semalam.
Beliau mengulas pendedahan Mohd Shukri yang mendakwa terpaksa meninggalkan Malaysia kerana merasakan nyawanya terancam ketika mengetuai siasatan skandal kewangan berkaitan SRC International Sdn Bhd, bekas subsidiari 1MDB, tiga tahun lepas.
Hadir sama Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Muhyiddin berkata, beliau yakin Ketua Pesuruhjaya SPRM itu tahu apa yang perlu dilakukan berhubung pendedahan tersebut.
Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata, polis akan cuba menyelesaikan secepat mungkin siasatan skandal 1MDB yang kini mendapat perhatian ramai.
Beliau berkata, selain polis, siasatan kes tersebut turut melibatkan agensi lain antaranya SPRM.
“Sebab itu saya tidak boleh ulas panjang bagi pihak polis, kami akan cuba selesaikan secepat mungkin,” katanya.
Mengenai kemungkinan polis akan membuka semula siasatan kes kematian model Mongolia Altantuya Sharibuu, Mohamad Fuzi berkata, beliau perlu berbincang dengan pegawainya terlebih sebelum membuat sebarang keputusan. — Bernama