Utusan Borneo (Sarawak)

Polis berkas empat penjenayah termasuk yang dikehendak­i

-

SHAH ALAM: Polis Selangor memberkas empat lelaki termasuk seorang yang dikehendak­i polis dalam kejadian di Jalan Bunga Pekan, Banting dekat sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata suspek berusia 20 hingga 30 tahun terbabit diberkas selepas polis berjaya menghalang kereta yang dinaiki mereka pada jam 8.15 pagi semalam.

Seorang daripada suspek turut mengalami kecederaan di kaki dan bahu akibat ditembak selepas bertindak agresif terhadap pasukan keselamata­n semasa cuba ditahan, katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata terdahulu sebuah MPV polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat terserempa­k dengan sebuah kereta Honda Civic yang dipandu dalam keadaan mencurigak­an dan polis meminta mereka berhenti.

“Bagaimanap­un kereta yang dinaiki suspek terbabit bertindak memecut melarikan diri ke arah Jalan Bunga Pekan. Beberapa MPV polis datang membantu mengejar kereta suspek,” katanya.

Menurutnya dalam usaha melarikan diri, suspek bertindak melanggar dua MPV polis sebelum kereta mereka terbabas dan melanggar dinding bangunan kedai.

Kereta mereka kemudian dihimpit oleh sebuah MPV polis namun keempat-empat suspek terbabit cuba melarikan diri sebelum berjaya ditangkap oleh beberapa anggota polis yang mengejar mereka, katanya.

Katanya, pemeriksaa­n ke atas kereta yang dinaiki suspek menemukan antaranya peralatan menghisap dadah dan perkakas untuk kegiatan pecah rumah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia