Utusan Borneo (Sarawak)

KPJ Healthcare cadang buka cawangan baharu di Pahang

-

KUANTAN: KPJ Healthcare Berhad (KPJ) bercadang untuk membuka sebuah lagi cawangan hospital itu di Pahang dalam tempoh 10 tahun ini bagi memenuhi permintaan terhadap perkhidmat­an penjagaan kesihatan yang dijangka meningkat berikutan pertumbuha­n pesat ekonomi di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Pahang, Yasser Arafat Ishak berkata Temerloh akan menjadi lokasi terbaharu pembinaan hospital berkenaan selepas pembukaan cawangan pertama Hospital Pakar KPJ di Tanjung Lumpur di sini pada 2016.

“Kita mengambil kira faktor kepadatan penduduk sebelum mewujudkan cawangan baharu dan berdasarka­n kajian yang dilakukan, Temerloh merupakan lokasi yang sesuai untuk pembinaan cawangan baharu hospital berkenaan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan miskin di Hospital Pakar KPJ Pahang di Tanjung Lumpur di sini, petang kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Hospital Pakar KPJ Pahang Mohd Johar Ismail, Pengarah Eksekutif Hospital Pakar KPJ Pahang Mohd Nasir Mohamed dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Badli Shah Alauddin.

Yasser Arafat turut menyatakan hospital ini merupakan satu-satunya hospital swasta di Pahang yang menerima akreditasi daripada Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) pada Februari lepas. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia