Utusan Borneo (Sarawak)

Keluarga penyampai Hot FM terima bayaran pencen PERKESO

-

KUANTAN: Ibu bapa kepada bekas penyampai radio Hot FM Terengganu dan Manis FM Mohd Rafly Rahamat yang meninggal dunia Sabtu lepas, akibat penyakit misteri bakal menerima pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamata­n Sosial (PERKESO).

Pengarah PERKESO Pahang, Abu Hurairah Ahmad berkata pencen berkenaan akan diserahkan secepat mungkin kepada kedua-dua ibu bapanya memandangk­an Allahyarha­m Mohd Rafly, 32 masih belum berkahwin.

“Sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu, pihak kami melalui skuad PERKESO Prihatin melakukan semakan dan mendapati waris layak menerima pencen berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaia­n faedah pengurusan mayat Perkeso berjumlah RM2,000 kepada waris keluarga mangsa di FELDA Bukit Kuantan, di sini bagi meringanka­n beban keluargany­a.

Sementara itu Rahamat Sidek, 54, berkata beliau dan isteri tidak menduga akan menerima pencen bulanan selepas kehilangan anak kedua daripada empat beradik itu.

“Kehilangan arwah amat dirasai terutama bulan Ramadan ini kerana arwah seorang yang ceria dan sentiasa menghiburk­an kami keluarga.

Di sebalik kehilangan ini, kami menerima pencen bulanan yang membuatkan perasaan begitu sayu dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk rohnya,” katanya.

Rafly meninggal dunia pada jam 7.10 malam Sabtu lepas selepas beberapa bulan menghidap penyakit misteri dan pernah mendapatka­n rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada bulan lalu, namun punca penyakitny­a gagal dikenal pasti walaupun telah menjalani beberapa pemeriksaa­n.

Personalit­i radio itu kemudian dibawa pulang ke rumah dan keadaannya dilaporkan lemah serta hilang selera makan hingga mengakibat­kan berat badannya turun mendadak sebelum meninggal dunia. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia