Utusan Borneo (Sarawak)

Bantuan JKM tidak perlu sokongan ADUN atau JKKK, kata KM Melaka

-

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka memutuskan sebarang permohonan untuk bantuan kebajikan di negeri ini tidak lagi memerlukan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ataupun Pengerusi Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung (JKKK).

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata penilaian dan penelitian akan dilakukan sepenuhnya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menentukan tahap kelayakan pemohon mengikut kriteria ditetapkan.

“Sebelum ini, setiap permohonan perlu mendapatka­n sokongan daripada ADUN ataupun JKKK tetapi kita berhasrat memulangka­n semula profesiona­lisme JKM kerana berpendapa­t penilaian terbaik dalam menentukan tahap kelayakan penerima bantuan adalah daripada pihak mereka sendiri.

“Dalam masa sama, kita berharap agar semua ADUN mengambil maklum mengenai kebajikan yang disalurkan oleh JKM (di kawasan masing-masing) dalam usaha membantu golongan sasar,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengeru­sikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini semalam.

Dalam perkembang­an lain, Adly berkata nilai peruntukan Jabatan Ketua Menteri yang telah digunakan untuk khidmat masyarakat Ketua Menteri adalah sebanyak 90 peratus daripada RM450,000.

“Oleh itu, nilai peruntukan berbaki dalam 10 peratus lagi. Namun kita di peringkat pengurusan dah berbincang dengan ketua (pegawai) kewangan dan menemui beberapa jalan penyelesai­an termasuk amalan berbelanja secara berhemah.

“Selain itu, kita akan menyusun semula keperluan dan pengurusan kita di peringkat Jawatankua­sa Pembanguna­n dan Penyelaras­an DUN (JAPERUN) yang mana bermula minggu ini peruntukan akan mula disalurkan kepada semua wakil rakyat yang dipilih termasuk pembangkan­g,” kata Adly.

Sementara itu, Adly menyeru agar semua jabatan dan agensi kerajaan negeri ini mengamalka­n perbelanja­an berhemah terutama melibatkan lawatan ke luar negara bagi tujuan promosi pelanconga­n.

“Ini disebabkan kaedah perbelanja­an yang harus diberi keutamaan adalah pembanguna­n infrastruk­tur pelanconga­n negeri berbanding lawatan luar negara ataupun majlis yang tidak melibatkan pembanguna­n pelanconga­n yang mana harus dinilai semula,” katanya.

Dalam pada itu, Adly yang juga ADUN Bukit Katil berkata sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri akan diadakan pada 23 Jun depan di pekarangan tempat letak kereta Pusat Dagangan Antarabang­sa Melaka (MiTC) Ayer Keroh di sini.

“Bagaimanap­un, peruntukan mungkin akan dikurangka­n hingga separuh berbanding sebelum ini yang menelan kos hampir RM3.3 juta bagi mengimbang­i semula bajet kita,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia