Bahagian Pembangunan Awal KanakKanak dijangka diwujudkan di Sarawak
KUCHING: Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak dijangka akan diwujudkan di Sarawak di bawah Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak.
Menterinya Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kertas cadangan berhubung penubuhan tersebut bakal dibentang pada mesyuarat kabinet akan datang.
Katanya, seramai 12 pegawai dan kakitangan akan menganggotai bahagian itu.
“Dalam mesyuarat kabinet itu, kita berharap dapat membincangkan kertas cadangan untuk menubuhkan Bahagian Pembangunan Awal KanakKanak di bawah kementerian,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPAKS) 2/2018 di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Majlis turut menyaksikan Fatimah yang juga pengerusi MPAKS menyampaikan Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis 2018-2020 kepada 25 penerima termasuk tujuh ahli baharu.
Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai Pelan Strategik 2018 yang memfokuskan kerja-kerja penam- bahbaikan pembangunan kanak-kanak secara holistik yang merangkumi kesihatan, keselamatan dan pendidikan.
Ia katanya, merangkumi menambah baik institusi pendidikan awal kanak-kanak di bandar dan luar bandar untuk memberi akses pendidikan kepada semua kanak-kanak.
“Visi kita mahukan kanakkanak yang sihat, ceria serta mempunyai kemahiran terkini dan misi kita hendak memastikan pengasuhan dan didikan awal yang berkualiti untuk membangunkan kanak-kanak secara holistik dan seimbang,” katanya.
Menurut beliau, objektif pihaknya adalah melahirkan kanak-kanak sihat, cergas, ceria, bersahsiah mulia, mampu berfikir secara kreatif dan kritis, berdikari, berjati diri dan patriotik.
Bagi mencapai objektif tersebut, MPAKS bakal menganjurkan lapan aktiviti secara tahunan dan 12 aktiviti ‘one-off’.
Aktiviti tahunan itu adalah Mencungkil Bakat dan Potensi: Konvensyen Pendidikan Prasekolah Kali Ke-12, Bengkel ‘Go Green/BaBa (Bersih Awal dan Bersih Akhir), Pembangunan Profesionalisme Berterusan (CPD): Kajian Tindakan, Pemantauan dan Anugerah Benchmarking TASKA/TADIKA, Bengkel Modul Asuhan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas (AKBK) dan Kursus Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
Hadir sama, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak- Kanak Rosey Yunus, Setiausaha Tetap Kementerian Dr Saadiah Abdul Samat serta 25 ahli MPAKS yang lain.