Cabaran basmi rasuah tiada beza meskipun selepas tukar kerajaan
KUCHING: Peralihan kerajaan di peringkat persekutuan selepas Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) membawa kepada dimensi baharu isu rasuah, salah guna kuasa dan integriti seperti dicanangkan warga media sosial.
Ia seolah-olah menggambarkan, tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kian mencabar demi memenuhi tuntutan orang ramai yang mahu salah laku tersebut dibasmi.
Mereka mendakwa wujud perlakuan rasuah berkaitan pihak tertentu, tetapi ironinya ia tidak dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menyentuh hal ini, Pengarah SPRM Sarawak Razim Mohd Noor berkata yang penting ialah orang ramai menyalurkan maklumat kepada mereka bagi memulakan siasatan.
“Bagi saya sama sahaja (tugas dan cabaran selepas atau sebelum peralihan kuasa kerajaan) sebab kita melaksanakan tugas mengikut undang-undang sedia ada, kita tidak boleh keluar daripada itu,” jelasnya pada sesi temu ramah bersama Utusan Borneo, pada Isnin.
SPRM juga katanya, berhadapan dengan persepsi orang ramai bahawa pihaknya tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap laporan — ini dinafikannya.
Proses siasatan tidak boleh didedahkan kepada umum kerana pihaknya terikat dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, jelasnya sambil menambah, pada hujung keputusan kes akan dimaklumkan juga sama ada ia ditutup tanpa tindakan.
Wujud juga dakwaan bahawa SPRM cuma mengambil tindakan terhadap kes-kes kecil berbanding berprofil tinggi membabitkan orang kenamaan.
Menurutnya, jika sekadar persepsi dan tidak ada unsur rasuah dalam sesuatu kes selepas siasatan, pihaknya tidak mengambil tindakan.
“Rasuah dan integiriti memang berkaitan dengan persepsi dan itulah cabaran kita untuk mendapat sokongan masyarakat,” ujarnya.
Jelasnya, semua laporan kepada pihaknya di sini akan disalurkan kepada Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi tujuan rekod berpusat yang seterusnya mengelakkan pertindihan.
Selain itu, menurutnya, Panel Penilaian Operasi juga wujud bagi menjamin ketelusan dalam pengendalian kes.
Panel ini merangkumi ahliahli dilantik oleh perdana menteri daripada kalangan mereka yang memiliki kepakaran dan mewakili badanbadan profesional bersesuaian serta individu yang berupaya memperlihatkan ketelusan dan kebebasan tindakan oleh SPRM.
Panel tersebut merupakan mekasnisme semak dan imbang terhadap kes penyiasatan yang dijalankan dan sebab sesuatu kes diperakukan untuk didakwa atau ditutup.
PPO juga boleh mencadangkan kes dikaji semula sekiranya tidak berpuas hati dengan penjelasan dikemukakan SPRM.
Mengenai kesalahan berkaitan rasuah sepanjang PRU14 di Sarawak, beliau berkata pihaknya tidak ada menerima sebarang aduan.