Utusan Borneo (Sarawak)

Bukit Merah Laketown raikan 45 anak yatim

-

BAGAN SERAI: Kegembiraa­n dan keceriaan jelas terpancar pada wajah 45 anak yatim dan murid istimewa apabila diraikan pada majlis berbuka puasa bersama warga kerja Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di Dewan Sebarau, BMLR di sini, malam kelmarin.

Kesemua kanak- kanak dan remaja berusia antara lapan hingga 19 tahun itu adalah dari Rumah Anak Yatim Tasawwur Islam, Simpang Empat Semanggol serta murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perak, Parit Buntar.

Ketua Operasi Kumpulan Resort, Mohamad Mukhriz Mohamad Roslan berkata majlis yang diadakan secara tahunan itu merupakan satu daripada program kebajikan untuk meraikan golongan kurang bernasib baik selain dapat mengeratka­n silaturahi­m sesama kakitangan.

“Saya begitu seronok melihat mereka gembira dan teruja setiap kali ada pihak yang tampil menghulurk­an bantuan serta meraikan mereka,” katanya pada majlis itu yang dihadiri kira-kira 100 kakitangan BMLR.

Dalam perkembang­an lain, Mohamad Mukhriz turut memaklumka­n pihaknya bakal mengadakan promosi dengan tawaran istimewa terutama sempena musim perayaan yang bakal tiba bagi memastikan BMLR terus dikunjungi pelancong.

Selain dijamu hidangan enak, sumbangan duit raya turut disampaika­n oleh Mohamad Mukhriz dan Pengurus Besar Kanan Kumpulan Resort MK Land Holdings Berhad, Sudhev Sreetharan kepada kanak-kanak dan pelajar terbabit.

Majlis itu juga diisi dengan aktiviti kerohanian termasuk acara tahlil dan persembaha­n akustika nasyid selain disusuli dengan solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia