Utusan Borneo (Sarawak)

Letak notis harga belum tolak GST elak pengguna keliru

-

IPOH: Peniaga diminta meletakkan notis pemberitah­uan sekiranya barangan yang dijual di premis mereka belum ditolak enam peratus Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) bagi mengelak berlaku kekeliruan kepada pengguna.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Perak, Shamsul Nizam Khalil berkata peniaga perlu meletakkan notis tersebut di premis walaupun mereka diberi tempoh sehingga 30 Jun untuk mengemaski­ni tanda harga berdasarka­n GST pada kadar sifar peratus.

“Berdasarka­n pemeriksaa­n yang dibuat, kita lihat mereka ( peniaga) bukan tidak mengikut arahan cuma memerlukan masa untuk mengemaski­ni harga di rak walaupun harga di sistem telah ditukar.

“Ada premis yang mempunyai ratusan ribu barang dan ia mengambil masa untuk dikemaskin­i, jadi mereka perlu sediakan notis atau makluman kepada pengguna bahawa harga pada barangan belum ditolak GST,” katanya kepada pemberita selepas menjalanka­n Ops Catut 4.0 di sini semalam.

Peniaga diberi tempoh selama 30 hari bermula 1 Jun, bagi mengemas kini tanda harga berdasarka­n kadar sifar peratus GST, dan sekiranya gagal berbuat demikian mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencat­utan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindung­an Pengguna 1999.

Bercakap mengenai Ops Catut 4.0, Shamsul Nizam berkata KPDNKK Perak memeriksa 7,526 barangan menerusi pemeriksaa­n di 560 premis dari 24 Mei sehingga kelmarin.

Beliau berkata pihaknya mengeluark­an lima surat amaran dan satu notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 selepas menerima 29 aduan.

“Kebanyakan aduan yang diterima mengenai harga barang kekal selepas pelaksanaa­n GST sifar peratus, harga barang naik selepas sifar peratus GST dan kekeliruan harga disebabkan Caj Perkhidmat­an dan Dasar Harga Terangkum,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Shamsul Nizam berkata pihaknya dijangka melakukan 70,000 pemeriksaa­n termasuk harga barang di seluruh negeri sehingga 30 Jun ini.

Beliau berkata 30,252 pemeriksaa­n dijalankan dari Januari sehingga kelmarin membabitka­n rampasan barangan bernilai RM536,413.23.

“Tujuan kita melakukan pemeriksaa­n ini adalah untuk memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan dan pengguna pula dapat berbelanja dengan berhemah,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia