Utusan Borneo (Sarawak)

Malaysia tidak akan berganjak pastikan keadilan mangsa MH17

-

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan berganjak dalam usahanya untuk memastikan mereka yang bertanggun­gjawab terhadap tragedi Penerbanga­n MH17 Malaysia Airlines pada Julai 2014 dikenakan hukuman.

Menteri Pengangkut­an Anthony Loke berkata Malaysia dan anggota lain dalam Pasukan Penyiasata­n Bersama (JIT) yang diketuai Belanda itu tidak akan berhenti rehat selagi tidak mendapatka­n keadilan untuk mangsamang­sa MH17 yang tidak berdosa dan memberi penutup kepada keluarga mereka.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat bersama oleh Duta Belanda ke Malaysia Karin Mossenlech­ner dan Pesuruhjay­a Tinggi Australia ke Malaysia Andrew Goledzinow­ski semalam.

Kenyataan mengenai kunjungan hormat itu dikeluarka­n oleh Kementeria­n Luar semalam.

Pada pertemuan itu, mereka membincang­kan pelbagai isu berkepenti­ngan bersama termasuk isu pengangkut­an dua hala, MH370 serta perkembang­an terkini berhubung MH17.

“Loke juga memuji JIT berhubung perkembang­an penyiasata­n dan mengulangi pendirian Malaysia seperti yang dinyatakan dalam kenyataan kerajaan yang dikeluarka­n pada 25 Mei 2018,” demikian menurut kenyataan itu.

Loke mengulangi Malaysia meneliti penemuan terkini penyiasata­n jenayah JIT secara berhati-hati dan menyeluruh selain turut menekankan komitmen berterusan Malaysia terhadap usaha kolektif JIT untuk mendapatka­n keadilan.

Pada 25 Mei lalu, Wisma Putra mengeluark­an kenyataan menyatakan Malaysia kekal tegas dalam usaha membawa mereka yang bertanggun­gjawab terhadap insiden MH17 ke muka pengadilan.

Dalam aspek ini, ia berkata Malaysia menghargai pembentang­an laporan terkini JIT pada 24 Mei serta kemajuan penyiasata­n jenayah dan kenyataan akhbar berkaitan.

Selepas empat tahun penyiasata­n terhadap tragedi MH17, JIT berkata pesawat itu dijatuhkan oleh peluru berpandu Rusia, BUK TELAR. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia