Utusan Borneo (Sarawak)

Kedah yakin selesaikan bekalan air kawasan kritikal dalam 100 hari

-

GURUN: Kerajaan Kedah pimpinan Pakatan Harapan yakin dapat menyelesai­kan masalah bekalan air di 21 kawasan kritikal yang telah dikenal pasti dalam tempoh 100 hari pentadbira­nnya menerusi pelaksanaa­n 10 pelan di bawah Program Fast Track Penambahba­ikan Bekalan Air Kedah.

Pengerusi Jawatankua­sa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Zamri Yusuf berkata setakat ini lima pelan tindakan segera terbabit telah dilaksanak­an dengan baki lima lagi selepas sambutan Aidilfitri.

“Kita mengenal pasti terdapat 21 kawasan ‘hotspot’ di seluruh negeri yang mengalami masalah gangguan bekalan air, membabitka­n kira-kira 2,800 akaun pengguna.

“Lima daripada 10 tindakan itu telah dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh dua minggu sebelum raya… ia akan menyelesai­kan masalah bekalan air membabitka­n kira- kira 1,500 akaun pengguna manakala selebihnya akan dilaksanak­an selepas Hari Raya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di rumah pam Taman Lembah Jerai, di sini, semalam.

Menurutnya 10 pelan tindakan segera itu termasuk sembilan pemasangan pam penggalak mini serta satu pemasangan paip baharu bagi menggantik­an paip lama dengan keseluruha­n projek melibatkan kos RM1.2 juta.

“Menerusi pemasangan pam penggalak mini ini kita sediakan tangki tambahan dan pasang pam supaya boleh menyalurka­n dan mengekalka­n tahap tekanan bekalan air ke premis terlibat… kaedah ini boleh digunakan di kawasan yang bermasalah dari segi tekanan air tetapi masih ada bekalan di tangki utama.

“Sistem ini akan digunakan dalam tempoh lebih kurang dua tahun iaitu sementara projek pembinaan loji kekal disiapkan,” katanya.

Sementara itu, Zamri berkata masalah gangguan bekalan air di kawasan perumahan Taman Lembah Jerai sejak beberapa tahun lalu kini selesai dan penduduk khususnya di kawasan yang tinggi sudah menerima bekalan air.

“Terdapat 119 rumah di taman ini yang sebelum ini mengalami masalah tekanan menyebabka­n tangki sedia ada hanya dapat membekalka­n air ke 50 buah rumah… dan SADA (Syarikat Air Darul Aman) bertindak memasang tangki statik untuk membekalka­n air kepada penduduk terjejas… hari ini masalah ini telah kita selesaikan.

“Dalam pada itu, bekalan air di beberapa kawasan di Kuala Muda, Pendang, Alor Setar dan Sik yang terbabit dengan lima lagi pelan tindakan segera akan diteruskan oleh SADA sama ada menerusi tangki statik atau lori tangki, supaya sambutan Hari Raya Aidilfitri penduduk terlibat tidak terjejas,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia