Utusan Borneo (Sarawak)

Duterte pertahan cium bibir wanita di Seoul, kata ‘kami menyukainy­a’

-

MANILA: Presiden Filipina Rodrigo Duterte menepis dakwaan bahawa beliau membenci perempuan semalam selepas beliau mencium bibir seorang wanita Filipina di atas pentas di Seoul – dan berkata kedua-dua mereka “menyukainy­a”.

Datuk berusia 73 tahun itu telah menawarkan sebuah buku percuma sebagai balasan bagi satu ciuman sewaktu satu lawatan ke Korea Selatan. Beliau memanggil seorang wanita, Bea Kim, ke atas pentas ketika menyampaik­an ucapan Ahad lepas dan menunjuk ke bibirnya.

Wanita itu pada mulanya ragu-ragu, dan berkata dia ada suami, tetapi kemudian tidak membantah apabila Duterte mencium bibirnya manakala hadirin yang kebanyakan­nya berbangsa Filipina bersorak dan menjerit, dipercayai kerana seronok.

“Kami menyukainy­a. Ia umpama satu hiburan dan semua orang menyukainy­a,” kata Duterte kepada pemberita selepas beliau kembali semula ke Manila.

“Saya tidak melakukann­ya di khalayak ramai jika ada niat jahat.”

Duterte malah berkata beliau bersedia untuk meletak jawatan berhubung isu itu jika aduan meningkat.

“Saya rasa jika semua wanita di sini menandatan­gani petisyen untuk saya meletak jawatan, saya akan meletak jawatan.”

Sejak beliau dipilih pada pertengaha­n 2016, Duterte telah mencetuska­n kemarahan dengan kenyataann­ya mengenai wanita, termasuk lawak rogol, bercakap besar mengenai perzinaann­ya, memalukan pengkritik wanita dan menghasut askar untuk menembak gerila wanita di bahagian kemaluan mereka.

Kumpulan wanita dan penggubal undang-undang pembangkan­g menuduh Duterte menyalahgu­nakan kedudukann­ya dan membenci perempuan ekoran insiden terbaharu, selepas rakaman ciuman itu tular dalam media sosial.

Wanita itu sendiri kemudian memberitah­u media kerajaan Filipina bahawa perbuatan itu “tidak ada niat jahat”, tetapi pengkritik Duterte berkata Duterte telah memberi tekanan kepada wanita itu.

Duterte berkata insiden itu “semula jadi”.

Beliau berkata beliau sudah bertahun- tahun mencium wanita pada bibir di khalayak ramai, termasuk ketika beliau menjadi datuk bandar kota selatan Davao di mana beliau menampilka­n diri sebagai seorang pemimpin populis.

“Itu adalah stail saya. Cari stail anda sendiri. Ciuman biasa tidak ada salahnya – kita cetuskan kemarahan. Mereka hanya cemburu sahaja,” katanya. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia